Sehingga 800,000 hektar hutan kering Chiquitano di Bolivia musnah terbakar antara 18 Ogos dan 23 Ogos lalu ketika dunia memberi tumpuan terhadap kebakaran dahsyat yang melanda hutan hujan Amazon sejak minggu lalu.

Menurut pakar, sistem ekologi hutan kering tropika terbesar di dunia itu yang musnah akibat kebakaran itu mengambil masa kira-kira dua abad untuk pulih.

Selain itu, kira-kira 500 spesies termasuk jaguar, tapir dan armadilo gergasi juga berisiko terancam akibat bencana tersebut.

Sebahagian spesies di Chiquitano dikatakan tidak terdapat di tempat lain.

Kawasan terbakar juga meliputi tanah pertanian dan bandar hingga memaksa ribuan penduduk terpaksa dipindahkan manakala ramai yang alami sesak nafas akibat asap tebal.

Kebanyakan penduduk tidak mendapat bantuan kemanusiaan diperlukan kerana kebanyakan media terlalu memfokuskan keadaan hutan terbakar di Brazil.

Ketika ini, penduduk Bolivia merayu bantuan masyarakat dunia untuk membantu mereka mengawal kebakaran tersebut.

Difahamkan, kebakaran itu yang pada mulanya untuk membersihkan kawasan pertanian, namun api merebak secara tidak terkawal.

Bencana itu berlaku kira-kira sebulan selepas Presiden Evo Morales mengumumkan dekri tertinggi bertujuan untuk meningkatkan pengeluaran daging lembu untuk eksport.

Sebanyak 21 pertubuhan awam bagaimanapun menggesa pemansuhan dekri tersebut atas alasan ia boleh mencetuskan kebakaran dan melanggar undang-undang alam sekitar Bolivia.

Pegawai kerajaan menyatakan kebakaran itu adalah aktiviti biasa dan ia tiada kaitan dengan dekri tersebut.

Morales dalam satu kenyataan berulang kali memaklumkan bantuan antarabangsa tidak diperlukan walaupun kerajaan hanya mengerahkan tiga helikopter untuk mengawal kebakaran tersebut.

Ia kini dilaporkan telah merebak ke bandar terbesar, Santa Cruz de la Sierra.

Keadaan yang semakin meruncing dengan asap tebal hingga menjejaskan pernafasan menyebabkan aktivis mula mengadakan demonstrasi menuntut bantuan pihak asing.

Kumpulan terbabit juga meminta Morales menuntut bantuan antarabangsa walaupun pasukan bomba dan sukarelawan kini sedang berusaha untuk mengawal kebakaran tersebut dengan suhu persekitaran mencecah 55 darjah Celsius.

-sinarharian

, ,

About Author

Leave a Reply

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908