Gambar viral wanita dukung anak buat GrabFood, pemilik asal gambar minta maaf muat naik gambar tanpa izin – Apa Pun Share

Gambar viral wanita dukung anak buat GrabFood, pemilik asal gambar minta maaf muat naik gambar tanpa izin

Home / Gambar viral wanita dukung anak buat GrabFood, pemilik asal gambar minta maaf muat naik gambar tanpa izin

“BUKAN saya tetapi suami yang bekerja sebagai penghantar makanan, ramai salah sangka dan membuat penilaian sendiri selepas melihat gambar berkenaan,” kata Nur Fatin Mohd Yusof, 24.

Nur Fatin yang juga ibu dua anak memberi reaksi itu ketika ditanya mengenai kesahihan gambar yang tular di media sosial sejak semalam.

Menerusi gambar berkenaan, Nur Fatin dilihat memakai topi keledar dengan menggalas beg sandang GrabFood sambil mengendong seorang kanak-kanak di hadapan sebuah restoran makanan segera.

Gambar berkenaan mengundang sebak warganet yang rata-ratanya mendoakan dan memuji kesungguhan Nur Fatin mencari rezeki tetapi tidak kurang juga yang meluahkan simpati dengan nasib wanita itu.

Menceritakan perkara sebenar, Nur Fatin mengakui terkejut selepas gambar berkenaan tular dan hanya tahu mengenainya selepas dimaklumkan oleh rakannya, Syahmi Hakimi, 24, menerusi kiriman WhatsApp semalam.

“Sejak semalam, ramai yang menghubungi dan menghantar kiriman WhatsApp kepada saya untuk mendapatkan kepastian mengenai perkara itu termasuk saudara di kampung kerana kasihankan saya selepas melihat gambar berkenaan.

“Malu juga kerana apa yang tular itu tidak betul dan membuatkan ramai keliru hingga menyangka saya bekerja penghantar makanan untuk menyara keluarga.

“Sedangkan saya hanya membantu suami menggalas beg sementara dia mengambil pesanan pelanggan di dalam restoran makanan segera di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Jadi, cerita yang tular itu tidak benar dan saya sendiri tidak sedar bila gambar berkenaan diambil,” katanya.

Menurut Nur Fatin, secara peribadi, dia berasa tidak senang dengan tindakan individu berkenaan kerana mengambil gambarnya secara senyap-senyap dan memuat naiknya di media sosial.

“Sepatutnya, individu berkenaan datang kepada saya untuk bertanyakan perkara sebenar dan bukannya dengan mengambil gambar tanpa izin.

“Disebabkan perkongsian gambar itu, ada yang mempersoalkan tindakan saya membawa anak bersama sedangkan suami yang menunggang motosikal dan kami hanya membonceng di belakang.

“Suami juga sebenarnya bekerja sendiri dan hanya menjadi penghantar makanan secara sambilan pada waktu lapang sejak enam bulan lalu,” katanya.

Sementara itu, Norazwan Azmi, 30, yang bekerja sebagai perunding unit amanah berkata, dia tidak berniat buruk sebaliknya mengambil dan berkongsi gambar Nur Fatin di media sosial bagi memberi inspirasi kepada mereka yang mengikutinya di platform berkenaan.

“Gambar itu diambil pada awal pagi Isnin lalu secara spontan ketika saya berada di hadapan restoran berkenaan dengan tujuan untuk menyuntik semangat rakan sekerja dan sesiapa saja yang melihat perkongsian berkenaan.

“Namun, saya tidak sangka pula gambar itu tular di media sosial dan membuatkan ramai salah tafsir mesej sebenar yang ingin cuba saya sampaikan.

“Apa pun, saya akui tindakan mengambil gambar dan memuat naik gambar tanpa izin itu adalah satu kesalahan dan berharap mereka (Nur Fatin dan suaminya, Mohamad Hafifie) memaafkan perbuatan saya,” katanya.

-Harian Metro

Share and follow us

About Author

Leave a Reply