Kanak-kanak tiga tahun meratap pilu di sisi ayah dan mayat ibunya yang kemalangan – Apa Pun Share

Kanak-kanak tiga tahun meratap pilu di sisi ayah dan mayat ibunya yang kemalangan

Home / Kanak-kanak tiga tahun meratap pilu di sisi ayah dan mayat ibunya yang kemalangan

KANAK-KANAK perempuan berusia tiga tahun hanya mampu meratap pilu di sisi ayah dan mayat ibunya selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) Range Rover di Persiaran Kewajipan menghala ke arah Subang Kelana, Subang Jaya, malam tadi.

Kejadian 10.01 malam itu, mengakibatkan ibu kanak-kanak yang berusia 36 tahun warga Myanmar itu maut di lokasi kejadian, manakala suaminya warga tempatan berusia 45 tahun, parah di kepala dan badan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kejadian berlaku di lampu isyarat Persiaran Murni ketika mangsa sekeluarga yang menaiki motosikal Honda Wave sedang menunggu lampu isyarat yang ketika itu berwarna merah.

Katanya, dalam masa sama SUV Range Rover yang dipandu penuntut berusia 20 tahun yang melalui jalan itu cuba mengelak pejalan kaki yang sedang melintas menyebabkan dia hilang kawalan lalu merempuh motosikal yang dinaiki mereka.

“Ia mengakibatkan wanita warga Myanmar itu maut di lokasi kejadian manakala suaminya parah dan anak perempuan mereka itu cedera di kepala.

“Mereka yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, semasa kejadian itu SUV itu turut merempuh sebuah lagi motosikal jenis Honda Future yang dinaiki suami isteri.

“Mereka yang berusia 46 dan 45 tahun itu cedera di bahagian muka dan badan yang mana menerima rawatan di hospital yang sama.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik PPUM untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Harian Metro

Share and follow us

About Author

Leave a Reply