Telefon pintar paling kecil dunia

January 31, 2020 | Tech | No Comments

REKA bentuk miniatur yang unik dan ultra ringan bukan halangan. Tugasnya seperti merakam gambar, video, berbual, pesanan ringkas, permainan dalam talian, kalendar serta banyak lagi adalah antara perkara yang mampu dilakukan dengannya.

Apa yang pasti, gajet mini sebesar pemetik api pun ada permintaannya. Zini Mobiles sebagai contoh, memperkenalkan Zanco T2, inovasi gajet telefon pintar 3G paling kecil di dunia!

Barangkali agak pelik dan melucukan kerana saiz kerdil tidak ubah seperti telefon mainan. Dalam perkongsian newatlas.com, perincian menarik spesifikasi fitur baharu itu dalam kelas tersendiri.

Fungsinya lebih praktikal berbanding telefon kasut pintar Maxwell yang pernah mengejutkan industri telekomunikasi suatu ketika dahulu.

Menariknya, meskipun saiz tak ubah seperti sekotak gula getah, namun keupayaannya sama seperti telefon pintar lain seperti merakam gambar dan video bersaiz resolusi 128 x 96 piksel.

Justeru, jangan pandang sebelah mata kerana sekecil-kecil peranti dengan saiz satu inci skrin LCD itu, ia berada dalam kelasnya tersendiri.

Menurut Shazad Talib, ketika ini telefon pintar dilihat lebih canggih yang didatangkan dengan harga semakin mahal, biarpun materialnya berat dan mudah ‘rapuh’.

“Zanko T2 pula dicipta sebagai alternatif telefon pintar mampu milik dengan daya ketahanan lebih lasak, ultra ringan dan kompak untuk menjalankan aktiviti seharian.

“Saya percaya si kecil ini mampu menjadi solusi berbanding membawa peranti pintar yang tidak sesuai dibawa untuk aktiviti ekstrem,” kata pengasas Zini Mobiles tersebut.

Suka perbezaan

Agak mengejutkan apabila telefon dengan saiz 2.4 inci x 1.18 inci x 0.65 inci itu mampu berfungsi sebagai peranti alternatif buat si peminat gajet yang sukakan perbezaan.

Mungkin penciptaan fitur baharu dengan berat hanya 31 gram tersebut menjadi berita baik buat pengguna yang sukakan minimalis kerana tidak mustahil, ada peminatnya tersendiri.

Peranti versatil itu agak mengujakan kerana memiliki bateri yang mampu bertahan sehingga tujuh hari selain memiliki ciri storan 32 gigabit (GB) dan akses sambungan Bluetooth.

Bagi mereka yang inginkan kebebasan, peranti cilik itu sememangnya direka untuk menjauhkan diri daripada gangguan emel dan media sosial tanpa meminggirkan komunikasi yang penting-penting sahaja.

Dengan saiz yang comel, ia mudah dibawa ke mana-mana walaupun dengan poket terhad. Sama ada jika mahu berjoging sambil mendengar muzik, Zanco T2 mampu menjadi peneman setia.

Tidak dinafikan, dengan saiz seumpama itu pasti wujud pro dan kontranya. Bagi pemilik jari besar, agak susah untuk menaip pesanan ringkas menggunakan pad halus, apatah lagi bermain permainan seperti ular atau tetris.

Setiap orang memiliki kecenderungan yang berbeza.

Ada yang suka dan ada yang menolak rekaan seumpama itu kerana lebih memilih jam pintar yang memiliki konsep sama.

Meskipun harganya masih belum diumumkan, fitur baharu itu dijangka akan menembusi pasaran bermula April nanti. Pastinya ada yang tidak sabar untuk menunggu kemunculannya nanti.

-sinarharian

,

About Author

Leave a Reply

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908