Tak jadi rogol

February 6, 2020 | News | No Comments

BEIJING: Helah seorang wanita di China mengatakan dia dari Wuhan sudah cukup menakutkan seorang lelaki yang cuba melakukan serangan seksual terhadapnya.

Daily Mail melaporkan dalam kejadian berkenaan, lelaki berkenaan dikenali sebagai Xiao, 25, menceroboh bilik tidur mangsa di bandar Jingshan, dekat Wuhan, Jumaat lalu.

Suspek dikatakan cuba melakukan serangan seksual terhadap mangsa menyebabkan wanita itu panik dan memberitahu lelaki itu bahawa dia menjalani kuarantin.

“Mangsa memberitahu – ‘Saya baru pulang dari Wuhan dan dijangkiti (koronavirus). Saya menjalani kuarantin’.

“Selain itu, dia berpura-pura batuk ketika suspek cuba memegang leher dan menutup mulutnya,” kata polis tempatan.

Selepas mendengar dakwaan wanita itu, lelaki terbabit tidak jadi menyerangnya.

Bagaimanapun, suspek merompak wang tunai 3,080 yuan (RM1,809) sebelum melarikan diri.

Insiden itu dilaporkan berlaku di bandar Pingba, luar Jingshan, yang terletak tiga jam perjalanan dari Wuhan.

Wuhan adalah lokasi tercetusnya wabak koronavirus yang sehingga kini menyebabkan kematian hampir 500 orang dan 24,000 kes jangkitan di China.

Kes itu didedahkan oleh Biro Keselamatan Jingshan dalam hantaran di media sosial, Isnin lalu.

Polis berkata, suspek sebelum itu melihat wanita itu berseorangan dan berhasrat untuk melakukan serangan seksual.

Susulan kejadian, mangsa melancarkan gerakan mencari suspek tetapi ia berdepan kesukaran kerana semua orang memakai penutup mulut dan hidung.

Akhirnya, suspek terbabit dikatakan menyerah diri kepada polis sebelum mengakui perbuatannya.

hmetro

,

About Author

Leave a Reply

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908