KKM batal notifikasi tiga produk kosmetik

June 9, 2020 | News | No Comments

SHAH ALAM – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan tiga produk kosmetik dikesan mengandungi racun berjadual yang boleh memudaratkan kesihatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga produk berkenaan ialah Glow Skin White – Brightening Cream, Glow Skin White – Sun Care dan Rzac Beauty Creme 2.

Menurutnya, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, penggunaan racun berjadual iaitu merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan.

Katanya, ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk-produk kosmetik ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers,” katanya.

-sinarharian

, ,

About Author

Leave a Reply

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908