JABATAN Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan empat individu berumur 30 hingga 32 dari Dungun dimasukkan ke wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) kerana disyaki dijangkiti leptospirosis atau kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata, semua pesakit berada dalam keadaan stabil dan sedang menerima rawatan.

“Semua pesakit menunjukkan gejala menyerupai gejala penyakit leptospirosis seperti demam, sakit sendi (arthralgia), sakit otot (myalgia), cirit-birit dan muntah. Namun begitu, pihak JKNT masih lagi menunggu pengesahan ujian makmal.

“Hasil siasatan mendapati semua pesakit dipercayai mempunyai sejarah melakukan aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut pada 1 sehingga 4 Jun lalu bersama sembilan individu lain.

“JKNT masih lagi menjalankan siasatan dan pengesanan kes bagi individu lain yang menyertai aktiviti rekreasi berkenaan,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, beliau turut mengesahkan kematian lelaki berusia 29 tahun pada 15 Jun pada jam 1.20 pagi ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSNZ.

“Mangsa turut mempunyai gejala leptospirosis dan turut sama menyertai aktiviti rekreasi di Lubuk Sungai Kerawat, Jerantut bersama empat pesakit yang sedang menerima rawatan.

“Leptospirosis ialah penyakit berjangkit yang disebabkan oleh patogen Leptospira yang boleh berjangkit secara langsung atau tidak langsung daripada haiwan kepada manusia.

“Bakteria Leptospira boleh terdapat di dalam air kencing haiwan yang dijangkiti seperti tikus, kucing, lembu, kambing, kuda dan haiwan lain,” katanya.

Beliau berkata, manusia boleh dijangkiti sekiranya terdedah atau kontak secara langsung dengan air yang tercemar dengan kencing haiwan yang dijangkiti atau mengambil makanan atau minuman yang tercemar dengan air kencing haiwan yang dijangkiti.

“Antara tanda dan gejala jangkitan termasuk demam menggigil, sakit kepala, sakit otot, muntah, jaundis (penyakit kuning), radang mata, sakit perut, cirit-birit, batuk dan ruam di kulit.

“Justeru, leptospirosis ialah penyakit yang berpunca daripada masalah kebersihan persekitaran yang berhubung kait dengan amalan kebersihan diri.

“Kebersihan persekitaran hendaklah diberi perhatian yang tinggi dalam mengawal pembiakan tikus dan penyakit bawaan haiwan termasuklah penyakit leptospirosis,” katanya.

Menurutnya, pihaknya berharap orang ramai sentiasa mengamalkan langkah pencegahan untuk mengelakkan penularan leptospirosis.

“Menjaga kebersihan persekitaran rumah, premis, premis makanan dan tempat rekreasi supaya bebas daripada tikus dan haiwan perosak yang lain.

“Elakkan daripada melakukan aktiviti riadah di tempat yang berpotensi dicemari seperti berkelah dan berenang di kolam, sungai yang tidak diselenggara dengan sempurna,” katanya.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//graizoah.com/afu.php?zoneid=2458908