SEORANG lelaki didakwa di Mahkamah Trafik Kuala Lumpur hari ini, atas kesalahan memandu kenderaan secara berbahaya hingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal Ogos, tahun lalu.

Tertuduh, Ong Jun Yung, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu, yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Puteri Nursheila Rahimi.

Ong didakwa memandu kereta model Toyota Vios secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian T. Viknais, 26, di Jalan Burung Hantu menghala ke Kepong Baru, Kuala Lumpur jam 10.30 malam, pada 22 Ogos 2019.

Lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000 serta hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum, manakala Pegawai Pendakwa Trafik Kuala Lumpur Inspektor Abdullah Khazali, menawarkan jaminan RM10,000.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin serta lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes selesai, dan menetapkan 21 Julai untuk sebutan semula kes.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply