SANGGUPKAH kita mengayuh beratus-ratus kilometer untuk pulang ke rumah apabila tiket penerbangan dibatalkan susulan wabak koronavirus yang melanda?

Jika orang lain barangkali memilih untuk menunda kepulangan atau tunggu sahaja masa sesuai sebelum sistem penerbangan kembali beroperasi, namun tidak bagi anak muda ini.

Benarlah kata orang, darah muda… jiwa pun sedang membara.

Walaupun tahu hakikatnya perlu merentas perjalanan beratus-ratus batu dengan kenderaan roda dua, iaitu hanya menggunakan basikal hampir mustahil, Kleon Papadimitriou tetap meneruskan niatnya.

Pada awalnya, pelajar perguruan sebuah kolej di Greece berusia 20 tahun itu berhasratnya untuk pulang ke rumah keluarganya di Athens.

Begitupun, dek operasi penerbangan ditutup kerana wabak koronavirus, dia memutuskan untuk berkayuh hanya dengan basikal meliputi laluan kira-kira 2,175 batu atau 3,500.3 kilometer.

“Saya baru tahu betapa besarnya pencapaian ini. Saya belajar banyak perkara mengenai diri saya, kekuatan dan kelemahan saya.

“Saya ingin mengatakan bahawa saya sangat berharap bahawa perjalanan ini memberi inspirasi sekurang-kurangnya kepada orang lain untuk keluar dari zon selesa mereka dan mencuba sesuatu yang baru dan besar,” katanya kepada CNN mengulas tentang perjalanannya itu yang mengambil masa selama 48 hari.

Papadimitriou yang kini memulakan tahun ketiga pengajiannya di University of Aberdeen, Scotland bercerita, beberapa hari terakhir bulan Mac lalu ketika memutuskan untuk menempah penerbangan pulang lebih awal, harapannya agar dapat melepasi kawalan susulan impak koronavirus yang cepat merebak di seluruh Eropah.

Sebilangan besar rakannya ketika itu sudah pulang, tetapi menurutnya dia terpaksa mengambil masa untuk memastikan dirinya tidak ketinggalan pelajaran. Papadimitriou menempah tiga penerbangan – tetapi semuanya dibatalkan.

“Pada awal April, saya sedar bahawa saya akan menghabiskan sekurang-kurangnya sehingga bulan depan untuk tempoh kuarantin di Aberdeen jika menunggu lagi,” katanya.

Tetapi kemudian dia mendapat idea.

Sardin dalam tin, basikal dan khemah

Tersekat ribuan batu dari keluarganya dan tidak ‘mampu’ duduk saja, Papadimitriou mengatakan dia mula meneliti tentang apa yang diperlukan untuk melakukan perjalanan dengan berbasikal.

Mulanya dia sendiri merasakan itu hanya impian. Begitupun dia tetap bersedia dengan mula membeli peralatan yang diperlukan. Dia membeli basikal dan sempat memberitahu rakan-rakan serta ibu bapanya akan hasratnya itu.

“Mereka setuju. Mereka juga merasakan itu juga idea yang akhirnya boleh membantu saya pulang,” katanya.

Susulan hasratnya itu, bapanya menyediakan surat berkaitan sokongannya sebagai rujukan dan bersedia dengan aplikasi yang membolehkan mereka sentiasa dapat mengesan Papadimitriou dan mengetahui di mana dia berada.

Pada 10 Mei, berbekalkan sardin dalam tin, kekacang dan roti, beg tidur, khemah dan peralatan untuk berbasikal, anak muda ini memulakan perjalanannya.

Puluhan batu setiap hari

Papadimitriou memberitahu CNN bahawa dia melakukan perjalanan antara 35 hingga 75 batu sehari, melalui England dan kemudian ke Belanda.

Dia mengayuh basikal di sepanjang Sungai Rhine di Jerman selama beberapa hari, melewati Austria dan kemudian melalui sepanjang pantai timur Itali sebelum menaiki kapal ke pelabuhan Yunani Patras. Dari sana dia berbasikal ke Athens.

Sepanjang perjalanannya, dia mendirikan khemah di ladang dan hutan. Kadang masanya diisi dengan menuliskan dan berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan. Seminggu berlalu, menurutnya perjalanannya mula tular dek perkongsian rakan-rakan dan keluarganya.

Semasa melalui pelbagai negara di Eropah, Papadimitriou mengatakan dia kadang-kadang akan menghubungi rakan atau kenalan yang akan menawarkannya tempat tidur dan mandi.

“Sebagai orang yang agak introvert, saya terpaksa keluar dari zon selesa saya. Dalam erti kata lain, jika saya tidak melakukan beberapa perkara, saya tidak akan mempunyai tempat tinggal sementara untuk singgah,” katanya.

Pada 27 Jun, setelah hampir 50 hari sejak dia berkayuh dan tiba di rumah, keluarganya bersama puluhan rakannya – serta mereka yang mengikuti perkembangannya – sedang menunggu untuk meraikan kepulangannya.

“Sangat menyentuh emosi saya. Mungkin saya berani melakukan hal ini kerana kedua orang tua saya pada zaman muda mereka juga suka sesuatu yang mencabar.

“Saya mengikuti jejak mereka barangkali,” tambahnya.

Moga terinpirasi!

-sinarplus

, ,

About Author

Leave a Reply

//ashoupsu.com/4/2458908