PERGERAKAN bagi setiap mata dikawal oleh 6 jenis otot. Sekiranya berlaku ketidakseimbangan dalam pergerakan otot-otot ini atau kerosakan pada otot, juling akan berlaku.

Juling juga boleh disebabkan oleh kecederaan atau kerosakan pada saraf yang mengawal pergerakan otot mata.

Juling keluar adalah keadaan di mana apabila satu mata memandang ke hadapan dan mata yang satu lagi kelihatan memandang ke sisi. Keadaan ini boleh berlaku sejak lahir, sewaktu kanak-kanak atau setelah dewasa. Bayi yang mengalami juling keluar sejak lahir perlu mendapat pemeriksaan terperinci bagi mengenal pasti punca keadaan ini berlaku, kerana juling keluar bukanlah suatu keadaan yang normal dan jarang berlaku kepada bayi.

Terdapat dua jenis juling keluar iaitu juling keluar sekali-sekala dan juling keluar kekal. Juling keluar sekali-sekala sering berlaku di kalangan kanak-kanak sekiranya mereka dalam keadaan letih, kurang sihat atau kurang tumpuan. Keadaan ini juga boleh berlaku sekiranya seseorang itu berada di bawah pengaruh alkohol.

Manakala, bagi juling keluar kekal pula, salah satu mata akan sentiasa mengarah keluar. Mata yang sentiasa juling keluar berisiko mendapat mata malas dan sering berlaku d kalangan kanak-kanak. Mata malas tidak akan berlaku sekiranya juling keluar berlaku pada kedua-dua belah mata, kanan dan kiri secara silih berganti.

TANDA DAN GEJALA

Individu yang mempunyai masalah juling keluar sekali-sekala sering menutup sebelah mata dalam cahaya yang terang disebabkan silau (photophobia). Terdapat juga individu yang mengadu penglihatan menjadi kabur apabila juling berlaku. Sekiranya juling baru berlaku, individu itu akan mengadu penglihatan berganda yang dipanggil diplopia. Penglihatan berganda adalah keadaan di mana satu objek kelihatan menjadi dua imej.

Individu yang mempunyai juling kekal sejak lahir atau ketika masih kanak-kanak biasanya tidak akan mengadu sebarang masalah penglihatan. Masalah utama bagi golongan ini adalah daripada segi kosmetik di mana pergerakan mata kelihatan tidak normal. Kanak-kanak juling mungkin akan menghadapi masalah dalam pergaulan kerana keadaan mata mereka sering dipersendakan oleh rakan-rakan. Ini boleh menyebabkan pelajaran mereka terganggu dan kanak-kanak tersebut tidak suka pergi ke sekolah.

Juling yang berlaku secara tiba-tiba mungkin disebabkan gangguan pada otak seperti pendarahan otak, penyakit tertentu atau ketumbuhan. Juling juga boleh berlaku akibat daripada kecederaan otak yang disebabkan oleh kemalangan.

RAWATAN

Pemeriksaan mata secara menyeluruh perlu dilakukan untuk mengenal pasti punca juling sebaik sahaja juling dikesan. Pemeriksaan boleh dijalankan oleh Pegawai Optometri, Pegawai Ortoptik atau pakar mata.

Sekiranya juling disebabkan oleh masalah rabun penglihatan, pesakit perlu memakai cermin mata dengan kuasa kanta yang tepat. Terapi penutupan mata mesti dibuat jika ada masalah mata malas. Penglihatan yang baik adalah amat penting untuk mengurangkan risiko juling berulang selepas pembedahan.

Terdapat jenis juling keluar yang boleh dirawat dengan melakukan senaman mata. Bagaimanapun, senaman mata hanya efektif untuk kes tertentu sahaja seperti juling keluar yang hanya berlaku sekali-sekala.

Pembedahan boleh dilakukan untuk membetulkan juling. Sekiranya juling disebabkan oleh masalah penglihatan yang teruk, pembedahan hanyalah untuk tujuan kosmetik. Selepas pembedahan, juling keluar mungkin boleh berulang kerana mata tersebut tidak dapat digunakan untuk melihat.

Bagaimanapun, bukan semua jenis juling boleh dibetulkan dengan pembedahan. Pembedahan juling terhadap orang dewasa yang telah mempunyai juling sejak zaman kanak-kanak mungkin boleh menyebabkan mereka mendapat penglihatan berganda. Ini disebabkan otak tidak dapat mencantumkan imej dari mata kanan dan kiri yang selama ini melihat secara berasingan.

Oleh itu, pemeriksaan rapi perlu dijalankan sebelum pembedahan dilakukan. Pemeriksaan dan rawatan awal adalah amat penting untuk memastikan kejayaan setiap rawatan yang diberikan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak.

-sinarplus

,

About Author

Leave a Reply

//azoaltou.com/afu.php?zoneid=2458908