Cuba bunuh isteri kerana enggan rujuk

October 19, 2020 | News | No Comments

Kota Marudu: Berang apabila bekas isterinya enggan berbaik semula, seorang lelaki cuba membunuh wanita itu dengan melepaskan tembakan menggunakan ‘bakakuk’ (senjata buatan sendiri) di kawasan kebun getah dan kelapa sawit di Kampung Kerongkom Laut, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu Superintendan Mohd Izaan Abdullah mengesahkan kejadian berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu wanita berusia 50 tahun iaitu kakak kepada mangsa.

Menurutnya dalam kejadian jam 2 petang itu, suspek berusia 58 tahun datang ke rumah mangsa berusia 39 tahun dan mengajaknya untuk membeli bekalan makanan di kedai runcit berhampiran.

“Siasatan awal mendapati suspek datang ke rumah mangsa untuk mengajak mangsa membeli bekalan makanan sebelum mangsa bersetuju dan turut membawa dua orang anak mereka.

“Bagaimanapun, ketika dalam perjalanan pulang ke rumah, suspek cuba memujuk mangsa untuk kembali kepadanya. Bagaimanapun wanita itu enggan dan ketika itu suspek dilihat mengambil selaras bakakuk,” katanya.

Mohd Izaan berkata, mangsa yang menyedari tindakan suspek bergegas memegang tangan anak lelakinya berusia enam tahun dan ingin melarikan diri.

“Mangsa kemudiannya terdengar satu das tembakan sebelum menoleh ke belakang dan bertindak menerkam suspek yang memegang bakakuk sambil dibantu anak perempuan berusia 15 tahun.”

“Pergelutan berlaku dan jeritan mangsa meminta pertolongan didengari kakak mangsa serta ahli keluarga lain yang berada tidak jauh dari lokasi.”

“Ahli keluarga mangsa kemudiannya bergegas membantunya sebelum menangkap dan mengikat suspek sementara menunggu ketibaan pihak polis,” katanya.

Mohd Izaan berkata, anak mangsa iaitu lelaki berusia enam tahun turut cedera pada bahagian pinggang dan punggung kiri.

“Anak mangsa itu dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan di hospital Kota Marudu dan akan dihantar ke hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.”

“Satu laras bakakuk, satu kelongsong peluru dan dua butir peluru dirampas manakala kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cuba membunuh,” jelasnya.

Mangsa berkahwin dengan bekas suaminya 24 tahun yang lalu sebelum bercerai pada Ogos lalu kerana tidak bersefahaman.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//stawhoph.com/afu.php?zoneid=2458908