Pelamin anganku musnah

November 20, 2020 | Viral | No Comments

Seorang wanita tidak sempat mengabdikan kenangan bersanding di pelamin selepas pelaminnya itu ditenggelami air dalam kejadian banjir di Kampung Kilang Berapi, Merlimau di sini malam tadi.

Lebih menyedihkan apabila Norhazilah Moin, 27, yang dijadualkan bernikah dengan pasangannya dari Selangor hari ini di Pejabat Agama Islam Jasin hanya sempat menyelamatkan sepasang baju pengantin untuk dipakai dalam sesi fotografi ringkas itu.

Norhazilah berkata, air naik dengan cepat sejak jam 7 malam kira-kira setinggi 0.5 meter menyebabkan banyak barang tidak dapat diselamatkan termasuk set bilik tidur yang baru dibeli.

Menurutnya, walaupun sedih impiannya duduk di pelamin tidak kesampaian namun tetap meneruskan sesi pernikahan seperti yang dirancang kerana sebelum ini sudah beberapa kali pernikahannya terpaksa ditangguhkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu.

“Air naik dengan cepat. Baju pengantin terendam sedikit dalam air tetapi nasib baik sempat saya selamatkan.

“Tapi pelamin dan barang-barang lain memang tak sempat saya nak selamatkan dan mampu tengok sahaja,” katanya.

Menurutnya, keluarga mahu mengadakan majlis jamuan ringkas selepas bernikah tetapi tidak dapat dilakukan kerana air belum surut sepenuhnya.

Ibu Norhazilah, Zaharah Md. Junab, 63, berkata, dia juga sebak dan sedih melihat keadaan rumah mereka dinaiki air dan perkara yang sama pernah berlaku awal bulan ini.

“Kali ini lebih teruk dan majlis pernikahan anak perempuan saya yang dirancang sejak sekian lama tidak dapat diadakan.

“Apa pun saya reda dan bersyukur anak-anak masih dapat bernikah di pejabat agama,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 138 mangsa banjir membabitkan 39 keluarga di Daerah Jasin dan Daerah Alor Gajah dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) selepas hujan lebat berterusan sejak petang semalam.

Bagaimanapun, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tedong ditutup pada jam 9 pagi tadi manakala PPS SK Tehel dibuka dan PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dang Anum serta SK Durian Tunggal masih beroperasi.

-sinarharian

,

About Author

Leave a Reply

//stawhoph.com/afu.php?zoneid=2458908