Air naik semula di Kampung Pasir

November 23, 2020 | News | No Comments

Johor Bahru: Seramai sembilan mangsa daripada dua keluarga ditempatkan di pusat transit sementara di Pusat Komuniti Kampung Pasir, dekat sini, susulan hujan lebat jam 3 petang tadi.

Terdahulu, dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka semalam di Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir, Johor Bahru, dan Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai, Pontian, sudah ditutup jam 2 petang tadi.

Bagaimanapun, jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Johor Bahru, menerusi kenyataan berkata sebuah pusat transit sementara dibuka semula akibat bencana itu.

“Punca kejadian (banjir) sehingga menjejaskan penduduk adalah akibat daripada hujan lebat selama hampir dua jam tanpa henti, selain pintu air tidak berfungsi dengan baik.

“Sehingga jam 6 petang, lokasi terjejas membabitkan Kampung Pasir dengan sembilan mangsa daripada dua keluarga.

“Pusat transit sementara dibuka jam 5 petang tadi bagi menempatkan mangsa antaranya empat kanak-kanak perempuan, tiga dewasa, selain dua warga emas.

“Paras air dianggarkan setinggi 0.3 meter dan keadaan cuaca pada ketika ini hujan renyai,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, agensi yang terbabit antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Terdahulu, jumlah mangsa banjir di Johor mencatatkan seramai 155 orang membabitkan 40 keluarga, dengan dua pusat pemindahan dibuka sehingga jam 8 pagi tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R Vidyananthan berkata, daerah yang terjejas ialah Johor Bahru dan Pontian dengan PPS masing-masing dibuka jam 7.30 malam serta 10 malam tadi.

Katanya, di Johor Bahru, seramai 144 mangsa daripada 36 keluarga ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir, manakala di Pontian, seramai 11 mangsa daripada empat keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masjid Kampung Ulu Pulai.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//luvaihoo.com/afu.php?zoneid=2458908