Lauv perjuang masalah mental

November 26, 2020 | News | No Comments

KUASA dan pengaruh artis sememangnya sangat besar untuk meninggalkan impak dalam masyarakat.

Justeru, penyanyi Amerika Syarikat, Lauv mahu memanfaatkan popularitinya dan tampil dengan advokasi memperjuangkan isu penyakit mental.

Lauv atau nama sebenarnya Ari Staprans Leff, 26, bukan lagi nama asing dalam pasaran muzik global. Hakikatnya, dia antara pendatang baharu yang cukup luar biasa fenomenanya dalam radar muzik dunia.

Lauv berkata, dia melihat tanggungjawab sebagai artis bukan sekadar menghiburkan peminat semata-mata. Disebabkan itu, dia rancak membabitkan diri dalam aktiviti menangani masalah mental yang cukup serius ketika ini.

Menurut penyanyi I Like Me Better itu, memperjuangkan advokasi terbabit menjadi antara keutamaan dalam hidupnya sekarang. Ini kerana dia sendiri pernah diduga dengan masalah kemurungan tidak lama dulu membuatkan dia sedar betapa penting untuk bersuara mengenainya.

“Kejatuhan yang paling dirasakan bermula awal tahun lalu. Ketika itu saya sangat-sangat tertekan dan murung. Sebelum saya pergi dapatkan rawatan, mengambil ubat dan terapi, saya benar-benar hilang semangat.

“Saya rasa seperti mahu putus asa saja untuk menjadi artis. Saya sudah tiada hati dan rasa mahu berhenti menghasilkan muzik. Memang sangat teruk keadaan saya ketika itu.

BERHARAP dapat kembali berjumpa peminat depan mata.
BERHARAP dapat kembali berjumpa peminat depan mata.

“Ia membawa makna yang sangat besar dalam hidup kerana saya sendiri pernah melalui pengalaman berkaitan isu ini. Sekarang pun ramai orang berdepan perkara sama dan isu ini perlu dibincangkan secara terbuka,” katanya.

Antara sebab Lauv untuk menyuarakan isu itu juga adalah bagi memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak cepat mengalah. Masalah mental mampu membawa kemudaratan dan paling menakutkan membabitkan kematian.

“Saya bersyukur dapat berkongsi pengalaman sendiri dan mereka dapat mendengarnya. Saya harap ia membuka mata ramai untuk terus belajar menangani permasalahan mental mereka dan bukannya menderita sendiri.

“Saya rasa ini misi yang sangat sempurna untuk saya perjuangkan dan sangat gembira dapat menggunakan pengaruh serta suara saya,” katanya.

Situasi pandemik Covid-19 yang menekan masyarakat turut dirasakan Lauv. Baginya, dugaan yang dihadapi sekarang jelas memberi kesan terhadap banyak aspek dan tidak terkecuali dirinya.

Namun, dia mengakui banyak juga hikmah diperoleh dan dalam masa sama berdoa supaya semuanya kembali normal secepat mungkin. Dia juga tidak menafikan berdepan kesedihan terhadap beberapa perkara.

“Situasi sekarang memang sangat menakutkan. Keadaan emosi pun tidak menentu. Bagaimanapun, saya lebih banyak masa untuk menghasilkan lagu dan dari segi tu sangat bersyukur.

“Memang sedih tidak dapat membuat persembahan ketika ini.

“Amat menyedihkan saya tidak dapat membuat persembahan ketika ini. Namun, saya seronok apabila temu bual jadi lebih mudah dengan hanya perlu duduk selesa atas sofa dalam rumah sendiri. Saya tidak perlu bergerak ke mana-mana dan cuma berada di satu tempat sahaja, cuma sedih kerana tidak dapat berjumpa dan berpelukan dengan orang lain,” katanya.

Terbaharu, Lauv tampil dengan lagu duet baharunya berjudul Fake dengan penyanyi semakin meningkat naik, Conan Gray.

Lauv berkata, dia mendapat kepuasan tersendiri dalam lagu itu kerana dapat berkongsi idea dengan penyanyi lain.

Menerusi Fake, Lauv seronok kerana proses penghasilannya berjalan lancar dan paling penting, organik.

“Ia berlaku secara rawak selepas kami sama-sama terbabit membuat persembahan akustik dalam talian. Saya memang pernah mendengar muziknya dan apabila menonton sendiri nyanyiannya secara langsung, saya kagum kerana dia sangat bagus.

“Dari situ, kami mula berhubung dan menulis lagu bersama. Kemudian kami memutuskan untuk berjumpa untuk melanjutkan sesi penulisan lagu itu. Ia berlaku begitu santai dan saya sukakannya,” katanya.

TAMPIL dengan lagu duet, Fake bersama Conan Gray.
TAMPIL dengan lagu duet, Fake bersama Conan Gray.

Sehingga kini, Lauv juga antara artis baharu yang cukup jadi rebutan artis lain untuk bekerjasama. Selain Conan, dia pernah bekerjasama dengan Anne-Marie, Troye Sivan, LANY serta penulis lagu terkenal lain.

Baginya, pengalaman berbeza dalam setiap kerjasama itu menyuntik lebih semangat buatnya untuk terus menjadi artis bermutu. Sebagai pengkarya muzik, dia akui kerjasama dengan artis lain benar-benar membantunya memperbaiki diri.

“Kombinasi hasil kerjasama dengan artis berbeza-beza memberikan aura serta pengalaman yang pelbagai. Kami menyalurkan lagu dalam cara tersendiri dengan kekuatan lirik masing-masing.

“Apabila bergabung idea, ia membantu perkembangan dan evolusi saya sebagai pengkarya muzik. Ia sangat menyeronokkan,” katanya.

Selain konsisten melancarkan lagu, Lauv juga nampaknya terus bekerja keras dan kini sudah memulakan penghasilan album baharu. Dalam pada sibuk mempromosikan Fake, dia tetap mencari masa menulis lagu untuk album akan datangnya itu.

“Saya sangat teruja untuk album baharu akan datang. Ia bakal menampilkan lagu-lagu yang lebih mantap. Bagaimanapun, ia masih dalam proses pembikinan dan saya pasti akan mengambil masa lama juga.

“Yang pasti, banyak lagi perlu saya tulis dan usahakan mengenai album terbabit. Saya pun belum menetapkan bila album itu akan keluar kerana masih terlalu awal untuk bercerita mengenainya,” katanya.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//zuphaims.com/afu.php?zoneid=2458908