Month: January 2021

Cari sindiket penipuan pelaburan, tapi jumpa dadah

January 29, 2021 | News | No Comments

Maklumat awal diterima berkaitan pusat panggilan penipuan pelaburan, namun serbuan polis menemui sembilan individu sedang berkumpul sambil menghisap dadah di sebuah pangsapuri di Taman Kota Laksamana, di sini, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E Sundra Rajan berkata, dalam operasi pada 3 petang itu, pihaknya menahan sembilan individu membabitkan lapan lelaki dan seorang wanita.

Beliau berkata, polis menemui tiga paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi dadah jenis ketamin dianggarkan seberat 55 gram di bawah katil salah satu bilik di lokasi berkenaan.

“Sepasukan pegawai dan anggota menyerbu pangsapuri itu selepas mendapat maklumat mengenai pusat panggilan penipuan pelaburan.

“Kami menemui lapan lelaki dan seorang wanita dipercayai teman wanita kepada seorang daripada lelaki terbabit sebelum menemui dadah di bawah katil.

“Semua suspek didapati positif dadah jenis ketamin selepas ujian saringan air kencing dilakukan dan mereka diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Melaka Tengah untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

HM

Tindakan tegas tangani kluster tempat kerja

January 29, 2021 | News | No Comments

Gunakan segala peruntukan undang-undang sedia ada untuk mengetatkan penguatkuasaan dan pemantauan di tempat kerja.

Itu saranan Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia bagi menangani lonjakan kes di tempat kerja yang semakin membimbangkan.

Presidennya, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, pihak berkuasa perlu tingkatkan lagi pemantauan dan bertindak pantas menutup operasi walaupun kes masih terkawal.

“Kerajaan ada pilihan sama ada ambil tindakan tegas atau biarkan mereka terus beroperasi tetapi nanti satu negeri atau satu negara terjejas kena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun ada satu kes saja, tutup dulu buat saringan jangan tunggu sampai kes banyak.

“Memang semua ini kos tinggi dan makan masa tetapi itu saja caranya daripada berpanjangan macam sekarang ,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, majikan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) beroperasi dalam norma baharu perlu dikenakan tindakan tegas bagi memberi pengajaran.

“Penularan kes di tempat kerja ini bukan baru pertama kali berlaku kerana faktor majikan yang pentingkan keuntungan hingga tidak peduli isu kesihatan pekerjanya.

“Ada juga yang berani menjalankan operasi seperti biasa tanpa mengikut SOP ditetapkan selain membiarkan pekerja tinggal bersesak di kediaman sempit.

“Jadi kawal dan kuatkuasakan betul-betul pastikan majikan patuh SOP sama ada di tempat kerja mahupun kediaman pekerja mereka,” katanya.

Semalam, penularan Covid-19 di tempat kerja menjadi penyumbang kepada 978 kes baharu daripada 15 kluster yang direkodkan.

Kluster berkenaan membabitkan enam di Johor, empat di Kuala Lumpur, tiga di Selangor selain masing-masing satu di Sabah dan Perak.

HM

Klinik pesakit luar ditutup 3 bulan

January 29, 2021 | News | No Comments

Klinik Perubatan Pesakit Luar di Klinik Pakar Hospital Sarikei, ditutup selama tiga bulan bermula 25 Januari bagi memberi tumpuan kepada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), yang ditubuhkan di hospital itu.

Pegawai Perhubungan Awam Hospital Sarikei Athirah Abdullah berkata, PKRC itu diwujudkan bagi menempatkan dan memberi rawatan kepada pesakit COVID-19 tahap satu dan dua.

“Tarikh operasi semula Klinik Perubatan Pesakit Luar akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Sementara itu, beliau berkata Klinik Pakar Sakit Puan, Kanak-kanak, Orthopedic, Psikiatrik, Neuro, Pergigian, Mata, Farmasi dan Makmal, masih lagi beroperasi seperti biasa.

Orang awam yang mempunyai pertanyaan boleh menghubungi talian 084-653333 sambungan 1080 atau WhatsApp ke talian 019-9279281, untuk keterangan lanjut.

HM

Ops Catut 8.0 pantau harga komputer, telefon

January 29, 2021 | News | No Comments

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melancarkan Ops Catut 8.0 bagi memantau harga jualan komputer, komputer riba, tablet, mesin pencetak, telefon bimbit dan alat komunikasi terutama perkakasan internet.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, sejak Isnin lalu sehingga semalam, bahagian penguat kuasa melakukan pemeriksaan terhadap 130 premis yang meliputi 262 barangan kelengkapan elektronik, komputer dan komunikasi.

Katanya hasil pemantauan itu, 130 Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 diserahkan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat berhubung harga dan kos belian barangan tersebut bagi suatu tempoh untuk mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan.

“Peniaga diberikan tempoh dua hari bekerja untuk mengemukakan maklumat dan dokumen yang diperlukan dan sekiranya gagal mematuhi notis tersebut, ia menjadi kesalahan tindakan di bawah Seksyen 21(5) AKHAP 2011.

“Kementerian mengambil maklum tentang pelajar sekolah yang terpaksa meneruskan pembelajaran secara dalam talian semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan keperluan terhadap perkakasan komputer, mesin cetak dan aksesorinya serta kelengkapan komunikasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Katanya, pemantauan itu dilaksanakan selama dua minggu mulai 25 Jan dan peniaga yang dikesan melakukan aktiviti mencatut akan diperiksa di bawah perundangan pencatutan.

“Mana-mana peniaga yang gagal mematuhi Seksyen 21(5) AKHAP 2011 boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000.

“KPDNHEP sentiasa memantau harga barangan keperluan supaya peniaga tidak menaikkan harga barangan dengan sewenang-wenangnya khususnya ketika negara sedang dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata, pengguna dinasihatkan menyimpan setiap resit pembelian bagi mengelakkan sebarang masalah yang mungkin berlaku pada masa hadapan.

Selain itu, pengguna digalakkan membanding harga dan mengetahui ciri-ciri pakej yang hendak dibeli terutama keperluan pembelajaran dalam talian serta tawaran pakej daripada penjual sebelum membuat keputusan membelinya.

HM

Rentas negeri sumbang kenaikan kes Covid-19

January 29, 2021 | News | No Comments

Kerajaan menafikan rentas negeri tidak menyumbang kepada kenaikan kes Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tujuan utama larangan rentas negeri diperkenalkan adalah untuk mengelak penularan jangkitan.

Menurutnya, ia terbukti apabila kerajaan memberi kelonggaran untuk merentas negeri, wujudnya kluster balik kampung.

“Sebab itu, kerajaan adakan larangan rentas negeri kerana berlaku kes membabitkan rentas negeri sehingga wujud kluster balik kampung.

“Oleh itu, tidak betul ada yang menyatakan bahawa rentas negeri tidak menyumbang kenaikan kes Covid-19 sedang ia juga menjadi penyebab penularan wabak itu,” katanya pada sidang media, MKN, di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga tidak lagi berkompromi dengan mana-mana pihak yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tidak kira di bandar atau di kampung.

“Tindakan akan diambil kepada sesiapa sahaja yang melanggar SOP sama ada di bandar mahupun di kampung kerana virus ini tidak mengenal status dan tempat,” katanya.

HM

Stadium Tertutup MBPG jadi pusat kuarantin

January 29, 2021 | News | No Comments

Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dijangka dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Johor Datuk Dr Aman Rabu berkata, pihaknya menjangkakan ia akan beroperasi dalam tempoh terdekat.

“Benar. Masih dalam proses persiapan dan melengkapkan.

“Kapasiti dan tarikh beroperasi belum ditentukan, tapi cuba dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerusi laman sosial Facebook (FB) rasminya memuat naik lawatan kerja ke Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang.

Kenyataan itu turut memaklumkan lawatan dihadiri Pegawai Kanan JKNJ, MBPG, Pejabat Daerah Johor Bahru, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Johor, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Setiausaha Kerajaan (SUK) Pengurusan Johor.

“Ia bertujuan penyediaan PKRC COVID-19 Johor. Semoga usaha ini berupaya membendung penularan Covid-19 di Johor,” kata kenyataan itu.

HM

Satu kluster jangkitan Covid-19 dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan membabitkan pusat asuhan.

Kluster Taman Mahkota Impian itu antara sembilan kluster baharu yang dikenal pasti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini, dengan lima daripadanya membabitkan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks bagi kluster tempat kerja itu (kes ke-198,084) dilaporkan positif Covid-19 pada 28 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini membabitkan pekerja dan kanak-kanak pusat asuhan yang terletak di Taman Mahkota Impian, Sungai Buton. Sehingga hari ini, tujuh kes dikesan positif Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, empat lagi kluster tempat kerja yang membabitkan pekerja kilang iaitu Kluster Jalan Faizal, Pontian, Johor yang merekodkan 68 kes positif Covid-19, Kluster Jalan Satria, Johor Bahru (38 kes), Kluster Jalan Dewani Satu, Johor Bahru (16 kes) dan Kluster Industri Peramu Jaya, Pekan, Pahang (11 kes).

“Seterusnya kluster komuniti dikenali Kluster Indah Riang membabitkan daerah Kuching, Simunjan, Samarahan dan Saratok di Sarawak. Kes indeks bagi kluster itu (kes ke-179,823) dilaporkan positif Covid-19 pada 23 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

“Kluster ini membabitkan satu majlis sosial yang dihadiri oleh kes indeks. Sehingga hari ini, sebanyak 20 kes dikesan positif Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, Kluster Jalan Pakat di Kuala Selangor iaitu kes indeks (kes ke-173,134) dikesan positif pada 22 Januari hasil saringan individu bergejala dan nama kluster merujuk kepada lokaliti kes indeks bertugas secara sambilan.

Menurutnya, setakat hari ini, kluster itu sudah merekodkan 27 kes positif daripada 74 individu disaring.

Tambah beliau, Kluster Kampung Kemansur di daerah Bentong, Pahang pula merujuk kepada lokaliti kediaman kes indeks (kes ke-154,682) yang dilaporkan positif Covid-19 pada 16 Januari lalu hasil saringan individu bergejala.

Katanya, sebanyak 11 kes positif dikesan daripada 43 individu yang disaring dalam kluster itu.

“Kluster terakhir iaitu Kluster Jalan Kejora adalah kluster kumpulan berisiko tinggi membabitkan daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin di Melaka serta Bandar Baharu di Kedah.

“Kes indeks (kes ke-150,857) dilaporkan positif Covid-19 pada 15 Januari lalu hasil saringan individu bergejala dan setakat hari ini, seramai 36 individu dikesan positif Covid-19,” katanya.

HM

Satu keluarga di Bandung terpaksa mengusung sendiri jenazah ahli keluarga mereka yang meninggal dunia akibat Covid-19 ke kawasan perkuburan, lapor Detik.Com

Ia susulan sukarelawan mogok menyebabkan keadaan menjadi kelam-kabut kerana ahli keluarga terpaksa menguruskan pengebumian itu sendiri.

Seorang ahli keluarga, Dede, 60, berkata, ia menimbulkan masalah untuk mengusung jenazah itu.

“Ketika mahu dibawa dengan ambulans, urusan itu mengambil masa yang lama.

“Selepas mengetahui di sini tidak ada yang mengusung jenazah adik, saya bertanyakan hospital ada sukarelawan atau tidak? Mereka maklumkan tidak ada,” katanya.

Dia kemudiannya mengambil keputusan untuk mengebumikan jenazah adiknya itu sendiri dengan dibantu pemandu ambulans dan kakitangan hospital.

“Akhirnya, ahli keluarga sendiri perlu menguruskannya. Kebetulan, ahli keluarga ada di sini.

“Tapi kita keliru kerana tiada pakaian perlindungan diri (PPE) seperti di rumah sakit. Saya juga tidak tahu bagaimana hendak buat,” katanya

HM

Pejabat Menteri Besar Kedah di Wisma Darul Aman, di sini, akan ditutup mulai 31 Januari sehingga 2 Februari depan, susulan penularan wabak Covid-19 dalam kalangan kakitangan kerajaan negeri.

Perkara itu dimaklumkan melalui kenyataan di laman media rasmi Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan urusan Pejabat Menteri Besar dijangka beroperasi seperti biasa mulai 3 Februari.

Turut ditutup adalah pejabat Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK) dan Tadbir Urus Negeri Kedah (JITU) mulai semalam, sehingga 6 Februari depan.

Kedua-dua pejabat berkenaan terletak di dalam kompleks Wisma Darul Aman.

Penutupan pejabat berkenaan adalah bagi memastikan tahap kesihatan kakitangan kerajaan negeri dan bagi melaksanakan proses sanitasi dalam tempoh terdekat.

Semalam, seorang kakitangan Wisma Darul Aman disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian swab kedua, walaupun ujian pertamanya pada 21 Januari dilaporkan negatif.

HM

Ronaldo langgar sekatan perjalanan

January 29, 2021 | News | No Comments

Cristiano Ronaldo melanggar peraturan sekatan perjalanan bagi Covid-19 dengan berkunjung ke sebuah resort pergunungan menurut laporan media.

Penyerang Juventus itu didapati melakukan perjalanan ke Courmayeur, iaitu 150 kilometer barat laut dari ibu pejabat kelab Serie A di Turin, bagi meraikan sambutan hari lahir teman wanitanya, Georgina Rodriguez.

Ketika dihubungi AFP, Juve enggan memberikan sebarang kenyataan membabitkan perkara itu.

Georgina yang berusia 27 tahun pada hari ini, memuatnaik video di kawasan bersalji itu dalam Instagram sebelum memadamnya, namun ia disedari dan dipetik beberapa laman web media Itali.

Akhbar The Gazzetta dello Sport berlaporkan Ronaldo dan Rodriguez meluangkan malam Selasa di hotel dan bersiar-siar di kawasan bersalji keesokan paginya sebelum kembali ke Turin.

Mengikut undang-undang Covid-19 di Itali, pasangan itu sepatutnya tidak meninggalkan bandar Turin. Mereka berdepan hukuman denda 400 Euro (RM1,963).

HM

//dopansearor.com/4/2458908