Lelaki ditahan hantar SMS rambang ugut minta duit

January 11, 2021 | News | No Comments

Seorang peniaga ditahan selepas disyaki menghantar mesej ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada puluhan mangsa untuk mendapatkan wang.

Lelaki berusia 29 tahun itu dikatakan menghantar SMS terbabit secara rambang pada awal tahun ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, sebanyak 35 laporan polis diterima daripada mangsa berlainan di kawasan Damansara, Kota Damansara dan Sungai Way.

“Laporan terbaharu diterima pada jam 10.23 malam 6 Januari lalu yang dibuat seorang wanita berusia 32 tahun bekerja sebagai eksekutif di sebuah syarikat swasta.

“Mangsa mendakwa menerima SMS berbaur ugutan meminta mangsa memasukkan wang RM10,000 ke dalam akaun diberikan. Jika enggan, mangsa akan dibunuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bertindak atas laporan itu polis menjalankan risikan dan mengesan suspek di Langkawi.

Katanya, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya kemudian ke lokasi dan menahan suspek di Jalan Pantai Cenang, jam 2 petang semalam.

“Polis turut merampas empat telefon bimbit dan sekeping kad mesin pengeluaran automatik (ATM).

“Soal siasat ke atas suspek tidak mengaku melakukan jenayah pemerasan dan mendakwa telefonnya digodam oleh individu tidak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau.

Beliau berkata, suspek direman tiga hari bermula hari ini sehingga 12 Januari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan.

HM

, , ,

About Author

Leave a Reply

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908