Kelantan tidak akan terkecuali berdepan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) jika kes jangkitan Covid-19 semakin parah dalam tempoh dua minggu bermula esok.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan negeri mengharapkan penularan kes dapat dibendung dengan sebaik mungkin.

“Kelantan mempunyai 18 kluster dan 14 daripadanya datang dari zon merah yang mana berkait dengan cuti sekolah, cuti perayaan Krismas dan tiada sekatan rentas negeri baru-baru ini.

“Diharapkan dengan adanya PKPB ini, kes ini akan menurun, namun sekiranya dalam tempoh PKPB ini kes masih meningkat dengan tidak terkawal, kebarangkalian Kelantan juga akan berdepan PKP.

“Jadi saya harap seluruh masyarakat cakna dan ambil tahu serta respon dengan positif bahawa kita sekarang ini berada dalam keadaan dan situasi yang agak berat.

“Semua mesti bersatu untuk kita PKP diri kita sendiri. Banyak duduk di rumah kecuali masalah tertentu yang memaksa kita keluar,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau hadir mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yaakob di Kompleks Kota Darul Naim disini.

Kerajaan Persekutuan pada Isnin memutuskan melaksanakan PKP di enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 13 hingga 26 Januari ini.

Pelaksanaan PKPB juga akan dilaksanakan di enam negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dalam tempoh yang sama.

SH



, ,

About Author

Leave a Reply

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908