PGA9 rampas 40 kambing seludup

January 22, 2021 | News | No Comments

Tumpat: Kelibat beberapa individu sedang memindahkan sesuatu objek ke dalam lori, rupanya penyeludup sejumlah kambing yang baharu dinaikkan ke tebing sungai.


Intipan dibuat sepasukan anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) di Pangkalan Haram Kertas, di sini, pada 9 malam tadi mendapati mereka memindahkan semua kambing yang diseludup dari Thailand itu ke dalam lori.

Pegawai Pemerintah PGA9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, selepas intipan dilakukan selama setengah jam, lori itu mula meninggalkan pangkalan haram terbabit dan bergerak memasuki jalan Kampung Bendang Pak Yong.

“Anggota kami mengekori kenderaan terbabit sehingga ia berhenti di sebuah kandang di Kampung Kok Bedullah sebelum kami menahan lori berkenaan.

“Pemeriksaan menemui 40 ekor kambing yang dipercayai diseludup dari negara jiran dan dipercayai untuk pasaran tempatan serta luar Kelantan bergantung kepada permintaan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Nor Azizan berkata, semua kambing itu dianggarkan bernilai RM48,000 manakala pemandu lori berusia 32 tahun ditahan dan dibawa ke Balai Polis Tumpat untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.

hmetro

, , ,

About Author

Leave a Reply

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908