Tujuh individu ditahan ingkar SOP PKP

January 22, 2021 | News | No Comments

Seramai tujuh individu termasuk dua wanita ditahan kerana ingkar arahan dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, tangkapan pertama membabitkan dua lelaki warga asing berusia 29 dan 47 tahun di sebuah premis cuci kereta tanpa lesen di Kelana Jaya pada jam 2.10 petang.

“Mereka gagal mengemukakan surat kebenaran untuk beroperasi seperti mana sektor pekerjaan yang dibenarkan oleh kerajaan,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.

Nik Ezanee berkata, tangkapan kedua pula membabitkan dua wanita warga tempatan berusia 36 tahun di sebuah premis menjual nombor loteri berlesen di kawasan sama pada jam 2.50 petang.

“Kesemua mereka ditahan kerana menjalankan perniagaan yang tidak tersenarai dalam perkhidmatan perlu beroperasi sepanjang PKP,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan terakhir membabitkan tiga lelaki warga asing berusia 31 hingga 40 tahun di sebuah restoran di Kelana Jaya pada jam 3.10 petang

“Mereka ditahan kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam restoran tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

-sinarharian

, ,

About Author

Leave a Reply

//zuphaims.com/afu.php?zoneid=2458908