Month: February 2021

Tidak perlu surat polis hantar anak ke asrama

February 26, 2021 | News | No Comments

Ibu bapa yang ingin merentas daerah dan negeri bagi menghantar anak ke sekolah atau asrama bagi sesi persekolahan bermula 1 Mac ini tidak perlu mendapatkan surat kebenaran daripada pihak polis.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mereka hanya perlu menunjukkan surat yang dikeluarkan pihak sekolah ketika melalui sekatan jalan raya.

“Perkara ini sudah dibincangkan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), dan ia juga sudah dimaklumkan kepada pihak polis di setiap daerah seluruh negara.

“Saya percaya tiada isu di sekatan jalan raya apabila ibu bapa menghantar anak mereka ke asrama atau sekolah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

HM

Bahana rakam video bawah skirt wanita

February 26, 2021 | News | No Comments

Tindakan seorang penghantar makanan merakam video dengan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt seorang wanita, membawa padah apabila dia didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahidan Mohammad, 46, selepas dia mengaku bersalah dan memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda.

Shahidan didakwa melakukan kesalahan itu ke atas mangsa berusia 38 tahun di dalam lif sebuah pangsapuri di Bandar Damai Perdana, di sini pada 9 malam, 20 Februari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di dalam lif bersama tertuduh yang juga penghuni pangsapuri berkenaan, dia merasakan lelaki terbabit mencubit pahanya.

Curiga dengan tindakan lelaki itu, mangsa telah mengekori lelaki tersebut sehingga ke rumahnya dan meminta pihak pengurusan menunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum mendapati lelaki itu telah merakam video dengan meletakkan telefon bimbitnya di bawah skirt mangsa.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira tindakan lelaki itu jelas tidak menghormati dan mengganggu kesantunan seseorang wanita.

Peguam S.Priyalatha yang mewakili tertuduh bagaimanapun memberitahu anak guamnya memohon maaf kepada mangsa dan semua pihak serta merayu hukuman ringan kerana perlu menyara isteri yang bekerja sebagai kerani serta enam anak berusia antara lima hingga 17 tahun.

HM

Cuma tangguh, bukan langsung tak boleh ambil vaksin

February 26, 2021 | News | No Comments

Memikirkan risiko tinggi dijangkiti Covid-19, pastinya wanita hamil dan yang menyusukan anak mahu mengambil suntikan vaksin sebagai perisai diri daripada ancaman pandemik itu.

Bagaimanapun, terdapat kekeliruan kerana ramai menyangka mereka dilarang terus daripada mengambil imunisasi itu kerana dikhuatiri mendatangkan kesan sampingan terhadap diri mereka, kandungan dan anak yang sedang menyusu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, yang sebenarnya, buat sementara waktu golongan itu tidak disyorkan mengambil suntikan tersebut kerana ketiadaan data yang mencukupi.

“Tanpa mengira trimester kandungan, mereka tidak disyorkan mengambilnya setakat ini,” katanya ringkas kepada Bernama ketika dihubungi.

Menurut Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam ruangan soalan lazim yang dikemas kini mengenai vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech dikenali sebagai Comirnaty, wanita hamil dan yang menyusukan anak diminta berhubung dengan doktor masing-masing untuk mengenal pasti jika mereka adalah penerima yang sesuai bagi vaksin tersebut.

“Ujian klinikal Vaksin Comirnaty tidak melibatkan wanita yang hamil atau sedang menyusukan anak.

“Memandangkan tiada data keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin ini bagi populasi tersebut, pengesyoran tidak dapat dibuat sehingga maklumat terkini diperoleh,” menurut NPRA.

Pakar Obstetrik dan Ginekologi Hospital KPJ Ampang Puteri Datuk Dr Ashar Abdullah pula berkata bagaimanapun, jika mereka adalah petugas barisan hadapan maka mereka sepatutnya diberikan vaksinasi memandangkan mereka berdepan risiko yang lebih tinggi dijangkiti Covid-19.

“Buat masa ini, yang menjadi masalah ialah tiada data yang cukup untuk menyokong vaksinasi rutin kepada wanita hamil dan yang menyusukan anak… namun dari apa yang saya tahu, tiada risiko tambahan untuk golongan ini, sama seperti orang lain,” katanya.

Beliau berkata, saranan itu hanya untuk menangguhkan pengambilan suntikan vaksin sehingga data mencukupi diperoleh dan bukan bermakna ia tidak diperlukan atau tidak perlu diambil langsung.

Berkongsi pandangan sama, Pensyarah Perubatan Mikrobiologi Universiti Putra Malaysia Profesor Madya Dr Niazlin Mohd Taib berkata, keperluan untuk petugas barisan hadapan yang mengandung untuk mengambil vaksin adalah tinggi tetapi bergantung kepada tempoh kandungan.

Bagaimanapun, pengambilan suntikan untuk petugas barisan hadapan yang hamil tetap perlu membabitkan persetujuan, perbincangan dan rujukan kepada data serta fakta.

“Untuk ibu mengandung yang lain, perbezaan dari segi tempoh kandungan sama ada trimester pertama, kedua atau ketiga juga diambil kira untuk menetapkan bilakah waktu yang sesuai untuk pengambilan vaksin.

“Perbincangan bersama pakar yang terlibat seperti ahli neonatologi, pakar sakit puan serta hospital ibu dan anak tentang keperluan pengambilan vaksin adalah perlu dari segi keselamatan dan risiko setiap seorang kerana faktor kesihatan seseorang dan pekerjaan mungkin berbeza,” katanya.

Niazlin berkata, sekiranya seorang ibu hamil itu tidak mempunyai risiko yang tinggi untuk mendapat jangkitan Covid-19, misalnya tinggal di kawasan zon hijau dan keluarga tidak bekerja sebagai petugas barisan hadapan, maka keperluan untuk vaksin adalah lebih rendah serta boleh menunggu sehingga persetujuan atau garis panduan dikeluarkan.

Katanya, garis panduan pengambilan vaksin yang dibina akan berubah mengikut aliran bukti-bukti keselamatan, keberkesanan dan kepentingan pengambilan berdasarkan risiko seseorang terhadap jangkitan Covid-19.

“Beberapa pertubuhan kesihatan di dunia juga telah menyemak semula kepentingan vaksinasi dalam kalangan mereka kerana mereka dianggap antara yang berisiko apabila menghidapi Covid-19,” katanya.

Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga berpendapat meskipun pengambilan vaksin itu tidak disyorkan kepada golongan itu, beliau menyarankan agar mereka mendapatkan pandangan pakar terlebih dahulu dan tidak membuat tafsiran sendiri.

“Ibu mengandung secara umumnya tidak boleh ambil tetapi ada pakar berpendapat kalau pada trimester ketiga vaksin boleh diambil kerana pembentukan bayi sudah lengkap… sebab itu, apa jua ubat kita tidak beri ketika tiga bulan pertama.

“Sebab itu kita tidak boleh samakan semua yang mengandung. Adalah lebih baik berbincang dengan doktor bagi mendapatkan kepastian, itu lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Pfizer telah memulakan ujian klinikal vaksin Covid-19 itu di Amerika Syarikat baru-baru ini ke atas 4,000 ibu mengandung bagi menguji keselamatan dan keberkesanannya.

HM

Jual semula selepas cuci untuk kaut untung

February 26, 2021 | News | No Comments

Mencuci semula sarung tangan getah terpakai dengan campuran pengilat tayar, cecair peluntur dan nila sebelum menjualnya kepada orang ramai secara dalam talian.

Bagaimanapun, tindakan keji pekerja pusat pemprosesan sarung tangan getah di Seksyen 13, Bandar Baru Bangi akhirnya terbongkar selepas premis terbabit diserbu, semalam.

Serbuan pada 10 pagi dilakukan sepasukan 25 anggota dan pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaannya Shariman Mohd Nor.

Menurut Shariman, serbuan itu dijalankan hasil maklumat daripada orang awam dan siasatan dijalankan mendapati premis terbabit beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Katanya, MPKj bertindak menyita premis itu, manakala Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merampas 86,981 sarung tangan getah bernilai lebih RM24,000 terbabit untuk siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah mesin basuh, seunit alat pengering dan pembilas pakaian di dalam premis berkenaan.

“Premis ini menggunakan khidmat pekerja asing dipercayai warga Bangladesh dan Myanmar, namun mereka sempat melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

“Sebahagian sarung tangan ditemui mempunyai kesan kekotoran, tetapi dibersihkan semula sebelum dibungkus di dalam kotak dan dijual di platform dalam talian pada harga RM18.80 hingga RM22.90,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan, di sini.

Turut serta dalam operasi itu ialah MDA KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Shariman berkata, selain menjual secara dalam talian, pelanggan juga dibenarkan datang ke premis untuk membuat pembelian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan MDA, Dery Akmal Abdul Rahman berkata, sarung tangan getah yang diproses itu diperoleh daripada pembekal tempatan.

Katanya, ia dikategorikan sebagai gred kedua kerana tidak melepasi ujian kawalan kualiti, namun menggunakan jenama sarung tangan untuk perubatan pada bungkusan kotak.

“Kami ada menjalankan soal siasat dengan pemilik premis yang mengaku menjual sarung tangan itu secara dalam talian dan ‘walk in’ iaitu pelanggan boleh datang terus ke premis untuk membuat pembelian

“Terdapat kesan kekotoran dan kerosakan pada sarung tangan terpakai berkenaan. Kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

HM

Didakwa ugut sebar video, gambar lucah tunang

February 26, 2021 | News | No Comments

Seorang penghantar makanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Selayang, hari ini atas dua pertuduhan mengugut mahu menyebarkan video dan gambar lucah tunangnya serta menyimpan bahan itu di dalam telefon bimbit, Januari lalu.

Muhammad Nuraiman Abdul Shukor, 22, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah pangsapuri di Taman Gombak Permai, Gombak pada 10 malam 24 Januari 2021 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa telah menyimpan video dan gambar lucah mangsa yang berusia 21 tahun itu di dalam galeri telefon bimbit miliknya di Pejabat Pegawai Penyiasat Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini pada 5.30 petang 25 Januari 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 292 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan manakala, peguam G Visvanathan Nair, yang mewakili Muhammad Nuraiman, memohon jaminan rendah.

Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 20 April ini untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.

HM

Kilang kitar semula plastik didenda RM120,000

February 26, 2021 | News | No Comments

Kilang kitar semula plastik terpakai di Banting didenda RM120,000 oleh Mahkamah Sesyen Sepang semalam, kerana menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA).

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar dalam kenyataan memaklumkan, denda berkenaan dijatuhi Hakim Tengku Shahnizam Tuan Lah terhadap syarikat dan pengarah syarikat selaku Orang Kena Saman (OKS) yang mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Katanya, syarikat dan pengarahnya didakwa dengan lapan pertuduhan masing-masing empat pertuduhan untuk syarikat dan empat lagi terhadap pengarahnya.

“Mengikut pertuduhan pertama, kedua-dua OKS didakwa menjalankan aktiviti kitar semula plastik terpakai tanpa kelulusan Laporan EIA seperti diperuntukkan mengikut Seksyen 34A(2), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, syarikat serta pengarahnya didakwa gagal mengemukakan Pemberitahuan Bertulis kepada Ketua Pengarah mengenai punca pengeluaran efluen perindustrian dan pencemaran udara seperti kehendak mengikut Peraturan 4(1)(a), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan 5(1)(b), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

“Bagi pertuduhan keempat pula, kedua-dua OKS didakwa gagal memasang alat kawalan pencemaran udara mengikut spesifikasi yang ditetapkan oleh Ketua Pengarah,” katanya.

Beliau berkata, mengikut semua pertuduhan itu, kedua-dua OKS didakwa melakukan perbuatan itu pada 4 Oktober 2018.

Beliau berkata, JAS Selangor akan sentiasa mengambil tindakan tegas dan tiada kompromi kepada penjenayah alam sekitar.

HM

Pengurusan kondominium atau kawasan perumahan tidak mempunyai kuasa untuk mengenakan kompaun kepada penghuni yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) seperti pemakaian pelitup muka.

Tular di media sosial mengenai seorang kanak-kanak berumur satu tahun yang disaman RM100 oleh pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang kerana tidak memakai pelitup muka ketika berada di dalam lif.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kuasa mengeluarkan kompaun itu adalah daripada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) tertakluk kepada Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Setakat ini kita tidak memberikan kuasa kepada pengurusan kondominium dan pangsapuri atau mana-mana pejabat untuk mengambil tindakan. Kuasa pada peringkat pengurusan perumahan hanya berkaitan dengan peraturan di dalam kawasan tersebut seperti menjaga harta.

“Jadi apa dilakukan oleh pihak pengurusan di kondominium (di) Ampang ini adalah salah dan tidak boleh dilakukan. Jadi saya harap mereka menarik balik kompaun RM100 yang diberikan,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini semalam.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan bagi tempoh PKP 2.0 ini supaya pemandu dan penumpang dalam satu kenderaan perlu tinggal dalam kediaman yang sama.

Sebaliknya, beliau berkata, pemandu dan penumpang boleh datang daripada kediaman yang berbeza mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan yang ditetapkan, dan ia merangkumi semua kawasan PKP, PKPB dan PKPP.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, kerajaan belum mempunyai ketetapan berhubung pengeluaran pasport vaksin terhadap individu yang bakal menerima suntikan vaksinasi terbabit.

Katanya, setakat ini kerajaan tidak mempunyai sebarang perbincangan untuk membuka sempadan negara susulan pengenalan pasport vaksin itu nanti yang memungkinkan orang ramai kembali melakukan perjalanan ke luar negara.

“Belum ada tarikh lagi untuk itu, kerajaan masih sedang mendapatkan maklum balas daripada pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai pasport vaksin terbabit.

“Hal ini kerana kerajaan tidak mengetahui vaksin apa yang diterima di negara luar untuk membolehkan kemasukan rakyat negara ini ke negara mereka. Jadi perkara ini masih terlalu awal diperkatakan,” katanya.

Beliau berkata perkara berkenaan akan diumumkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan KKM kemudian.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, polis menahan 460 individu kerana mengingkari PKP Rabu lalu.

“Sejumlah 388 daripada mereka dikompaun sementara 70 direman dan dua individu dijamin Rabu lalu.

“Mengenai Op Benteng pula, seramai 23 pendatang tanpa izin dan dua tekong ditahan sementara 11 buah kenderaan darat dirampas semalam,” katanya.

HM

Bermula 11 Mac, kompaun RM10,000 jika langgar SOP

February 26, 2021 | News | No Comments

Kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.

Berdasarkan paparan di e-Warta Persekutuan, menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan semalam, kompaun berkenaan akan berkuat kuasa 11 Mac depan.

Kini, denda RM1,000 dikenakan kepada individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan.

Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.

Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati tindakan serta-merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, 11 Januari lalu.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.

Pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 Ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Peranti pengesanan iaitu gelang tangan atau peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.

HM

KULAI – Seorang pemuda melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan seorang lelaki yang tergamak menganiaya haiwan menggunakan kaedah semburan racun di sebuah taman perumahan di sini.

Muhammad Danial Faris Bin Hashim, 24, berkata, kejadian berlaku pada Khamis sempat dirakam sebagai bukti sebelum memuat naik di Twitter hingga tular di laman sosial.

Lebih menyedihkan, kata Danial, kucing kesayangannya turut menjadi korban akibat perbuatan zalim tersebut.

“Kucing saya mati kerana semburan racun itu, hari ini saya dapat rakam si pelakunya tetapi kali ini, lelaki tersebut menyembur burung pula.

“Saya telah menegur tindakannya namun dia tidak mengendahkannya. Kemudian saya perhatikan dia menyembur racun pada nasi yang diletakkan di lantai untuk burung makan. Perbuatannya sungguh zalim dan tidak boleh diterima akal,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Perkongsian video berdurasi 36 saat yang dimuat naik di Twitter itu menerima lebih 21,500 tontonan sejak petang Khamis.

Rata-rata warga maya mengecam tindakan lelaki berkenaan yang disifatkan sungguh kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Warga maya yang prihatin telah menyalurkan kejadian itu kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar di Twitter dan pihak berkaitan meminta pengadu untuk membuat aduan menerusi e-mel pro@dvs.gov.my disertakan maklumat lengkap.

Kata @AdneyHazriey, “Buat laporan bagi orang-orang macam ini, ini namanya sudah aniaya binatang. Binatang itu tidak salah, apa sampai buat begitu sekali”.

Ujar @CT_Voter pula, tindakan lelaki berkenaan sungguh melampau dan perlu segera membuat laporan kepada pihak berkuasa berserta bukti.

-sinarharian

SUBANG JAYA – Seorang penunggang motosikal cedera disyaki dipukul oleh sekumpulan sembilan lelaki di Jalan Klang Batu 13 Puchong di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Khalid Othman berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah malam itu, mangsa berusia awal 30-an dipukul dan ditumbuk oleh kumpulan berkenaan.

“Punca kejadian adalah disebabkan selisih faham antara mangsa dengan salah seorang suspek,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Abdul Khalid berkata, sebelum kejadian mangsa menunggang sebuah motosikal namun tidak sempat mengelak suspek terbabit dan hampir berlaku kemalangan.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah dipukul dan mengalami kecederaan ringan di atas kepala dan lebam di dada,” katanya.

Menurutnya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah berjaya memberkas seorang suspek berusia awal 40-an di Kampung Baru Sri Puchong Batu 13 pada hari sama.

“Kita masih mengenal pasti lapan lagi rakannya dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

-sinarharian

//dopansearor.com/4/2458908