Kaut untung RM80,000 sebulan jual baju tiruan

February 2, 2021 | News | No Comments

Sebanyak 3,000 helai baju tiruan jenama Adidas, Nike, Louis Vuitton (LV), Puma dan Chanel dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Selangor dalam Ops Tiru di Bandar Rimbayu, di sini, semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya menyerbu kediaman eksklusif berpengawal di sini dan menemukan 3,000 baju berkenaan.

“Siasatan mendapati, kediaman itu dijadikan stor simpanan dan pusat jualan secara dalam talian yang disyaki mengunakan suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah ke atas barangan yang ditemukan semasa pemeriksaan.

“Nilai rampasan barangan yang ditemui adalah RM60,000,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Muhamad Zikril Azan berkata, ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki berusia lingkungan 30 tahun mengakui barangan dirampas miliknya.

“Hasil keterangan, beliau menjalankan urusniaga itu sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu melalui media sosial seperti Facebook yang mempunyai 30,000 pengikut.

“Lelaki itu memberitahu, baju dijual pada harga antara RM6 hingga RM20 mengikut gred dan kualiti baju berkenaan. Baju itu diimport dari Vietnam melalui penghantaran kurier terus ke rumahnya.

“Dia juga mengaut keuntungan sehingga RM80,000 sebulan hasil daripada jualan secara atas talian dan keuntungan meningkat sejak PKP lalu,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Ini adalah kes ketiga bagi tahun ini dan pemilik barangan berkenaan ditahan bagi diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//ashoupsu.com/4/2458908