Kerajaan mewajibkan semua majikan di seluruh negara memastikan pekerja asing mereka menjalani ujian saringan Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kos ujian saringan pekerja asing berkenaan akan ditanggung oleh majikan masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, semalam, seramai 6,641 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan.

“Daripada jumlah itu, 85 orang disahkan positif Covid-19. Secara kumulatifnya, sejak 1 Disember, seramai 265,770 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 10,973 majikan.

“Daripada jumlah ini seramai 4,867 orang disahkan positif Covid-19 manakala 260,903 lagi adalah negatif. Sehingga kini juga, sebanyak 890 klinik terbabit dengan program saringan ini,” katanya dalam kenyataan media harian mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), di sini, semalam.

Katanya, Task Force Operasi Pematuhan diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat 61,421 pemeriksaan semalam, bagi memantau dan menguatkuasakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) PKP.

Ismail Sabri berkata, seramai 2,841 pasukan pematuhan membabitkan 12,690 anggota membuat pemantauan di 5,203 restoran, pasar raya (3,565), bank (3,347), pejabat kerajaan (3,015), penjaja (1,897) dan kilang (1,437).

Katanya, turut dipantau ialah 950 terminal pengangkutan darat, terminal pengangkutan air (341) dan terminal pengangkutan udara (81).

“Semalam, seramai 826 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 776 dikompaun manakala 50 individu direman.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal (170), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (158), tidak memakai pelitup muka (128), keluar rumah tanpa alasan munasabah (69), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (53) dan lain-lain (248),” katanya.

Mengenai kawalan sempadan negara, katanya, 20 pendatang tanpa izin (Pati) ditangkap dalam Op Benteng semalam selain lima kenderaan darat serta tiga bot/kapal turut dirampas.

Dalam operasi itu, katanya, pihak berkuasa turut mengesan sebuah bot/kapal di perairan negara melalui satu aktiviti penglihatan.

“Op Benteng yang membabitkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (Aksem) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 537 Sekatan Jalan Raya (SJR).

“Pecahan iaitu Op Penawar (ATM, PDRM dan RELA) sebanyak 481 SJR; Op Benteng PDRM sebanyak 47 SJR dan Op Benteng Aksem sebanyak sembilan SJR,” katanya.

HM

, , ,

About Author

Leave a Reply

//dopansearor.com/4/2458908