Padah reka cerita kena samun

February 2, 2021 | News | No Comments

Lelaki ‘menerima padah’ selepas membuat laporan palsu dengan mendakwa kononnya disamun di kawasan parkir sebuah pasar raya di daerah ini, Ahad lalu.

Bagaimanapun, helah lelaki berusia lingkungan 20-an terbabit terbongkar selepas siasatan polis mendapati perkara itu tidak berlaku.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, pada mulanya suspek membuat laporan polis dengan mendakwa didatangi dua lelaki yang memakai topi keledar dalam kejadian pada 8.30 malam, Sabtu lalu.

Menurutnya, lelaki itu mendakwa dua lelaki berkenaan menyerangnya dengan menendang bahagian perutnya sehingga terjatuh sebelum beg duit miliknya yang mengandungi dokumen penting dilarikan.

“Dia kemudiannya ke Balai Polis Papar semalam, untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

“Hasil siasatan disyaki laporan yang dibuat itu mencurigakan dan siasatan lanjut akhirnya dia mengaku laporan yang dibuat adalah palsu dan direka semata-mata,” katanya ketika dihubungi.

Batholomew berkata, dokumen penting miliknya juga tidak hilang seperti yang didakwa.

“Orang ramai diminta supaya tidak membuat laporan palsu berkaitan sebarang tuntutan atau dokumen.

“Pihak PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya jika didapati membuat laporan palsu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana memberi maklumat palsu,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//dopansearor.com/4/2458908