Rumah terbakar, dua beranak nekad terjun tingkap

February 3, 2021 | News | No Comments

Dua beranak nekad terjun dari tingkap tinggi untuk menyelamatkan diri selepas rumah mereka terbakar kira-kira jam satu pagi semalam.

Ahmad Zaim Khairudin, 19, berkata, ketika kejadian dia tidur di rumah rakan dan mendapat berita rumah terbakar selepas dihubungi seorang rakan sekampung sekitar jam 1.20 pagi.

Katanya, ibunya seorang ibu tunggal, Azma Abd Rahman, 45, dan kakaknya, Raidah Khairudin, 22, sempat menyelamatkan diri dengan terjun dari tingkap rumah setinggi tiga hingga empat meter dari tanah apabila menyedari bunyi letupan serta rumah mereka terbakar.

“Ibu terpaksa menerima lima jahitan di kepala kerana mengalami kecederaan ketika terjun selain turut sakit pinggang begitu juga kakak yang mengalami sakit pinggang,” katanya ketika ditemui di Kampung Seberang Jertih, di sini, semalam.

Zaim berkata, mereka sekeluarga tinggal di rumah pusaka milik keluarga sejak 2013 dan belum pernah lagi mengalami kejadian seperti itu.

“Ibu mengusahakan kedai makan dengan dibantu kakak tetapi sejak Perintah Kawasan Pergerakan (PKP), ibu tutup sementara kedai.

“Saya ralat apabila tidak sempat menyelamatkan dokumen Sijil Pelajaran Malaysia yang baru diambil kelmarin dari sekolah. Jika diikutkan semalam saya bercadang mahu membawa sijil itu ke sesi temuduga pengambilan tentera darat tetapi mengubah fikiran mahu pergi semalam.

“Tetapi hajat tidak kesampaian apabila semua barang saya termasuk sijil itu hangus terbakar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, tiga jentera bersama 15 anggota bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan jam 1.20 pagi.

Menurutnya, setiba di lokasi, rumah papan jenis sementara itu musnah hampir 70 peratus dan api berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa kira kira 30 minit.

Sementara itu Adun Jertih, Datuk Muhammad Pehimi Yusof turut hadir menyampaikan sumbangan kepada keluarga mangsa.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//cdrvrs.com/4/2458908