Umpan kad prabayar rekrut tali barut

February 3, 2021 | News | No Comments

Sindiket pembalakan haram di negeri dikesan mengumpan kad prabayar kepada masyarakat setempat khususnya remaja menjadi ‘tali barut’ atau tonto bagi menyalurkan maklumat pergerakan anggota penguatkuasa Jabatan Perhutanan menerusi telefon bimbit.

Difahamkan, dengan hanya mengumpan kad prabayar sebagai imbuhan, golongan menjadi ‘tali barut’ sindiket itu licik menjalankan peranan dan menyebabkan kumpulan sindiket yang layak digelar ‘lanun hutan’ itu berjaya menghidu kehadiran penguatkuasa dan meloloskan diri dengan pantas setiap kali serbuan dilakukan.

Ini terbukti apabila Ops Katang Jabatan berkenaan yang digerakkan secara bersepadu bermula semalam, menemui beberapa kesan pembalakan haram yang ada antaranya dipercayai baru ditinggalkan kumpulan lanun terbabit.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu (JPNT), Roslan Rani, berkata pihaknya menyedari tindakan sindiket terbabit, namun mendakwa pergerakan tonto sukar dikesan kerana sebilangan besarnya membabitkan golongan remaja yang sentiasa ‘bersama’ telefon bimbit.

“Sebilangan besar remaja boleh dikatakan 24 jam dengan telefon bimbit dan sukar untuk dikesan samada mereka sedang bermain ‘game’ atau memberi maklumat kerana difahamkan penyaluran maklumat dibuat menerusi penghantaran mesej.

“Kita tidak menafikan menerusi operasi sebelum ini, banyak rampasan aset hutan dilakukan dan sebilangan besarnya tanpa ada tangkapan,” katanya ketika ditemui di sini, Isnin lalu.

Oleh itu katanya, menerusi Ops Katang, pihaknya memiliki strategi dan helah tertentu bagi mengelak kehadiran anggota penguatkuasa di lokasi sasaran dikesan kumpulan ‘tali barut’ berkenaan.

Bagaimanapun katanya, dalam usaha jabatan berkenaan membanteras kegiatan lanun hutan terbabit, pembabitan orang ramai khususnya komuniti setempat menjadi mata dan telinga sangat diharapkan bagi melumpuhkan rangkaian sindiket terbabit termasuk pergerakan tonto.

Katanya, Ops Katang yang dilakukan secara bersepadu membabitkan seramai 55 anggota dari Pejabat Hutan Daerah Terengganu Utara, Terengganu Barat dan Terengganu Selatan serta JPNT diadakan selama 14 hari bermula Isnin lalu.

Beliau berkata, objektif utama Ops Katang dibuat adalah bagi mengekang dan mencegah kegiatan pencerobohan hutan dan pembalakan haram terutama di kawasan Hutan Simpan Kekal (HSK) di seluruh negeri ini.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//mauchopt.net/4/2458908