Bantahan riben merah

February 5, 2021 | News | No Comments

Yangon: Doktor dan petugas kesihatan di Myanmar memakai riben merah pada pakaian seragam mereka sebagai membantah rampasan kuasa oleh tentera negara itu.

Malah, ada juga antara mereka yang tidak mahu melakukan tugasan bukan kecemasan bagi menunjukkan tanda protes.

“Kami hanya menerima kerajaan yang kami pilih,” kata Aung San Min, ketua sebuah hospital dengan 100 katil di daerah Gangaw.

Beberapa pasukan perubatan memuat naik di media sosial, gambar mereka memakai riben berwarna merah dengan tabik tiga jari, simbol protes yang ditunjukkan oleh aktivis demokrasi di Thailand, sebelum ini.


“Protes saya bermula hari ini dengan tidak pergi ke hospital. Saya tidak mahu bekerja di bawah pemerintahan diktator,” kata Nor Nor Wint Wah, doktor di Mandalay.
Dalam pada itu, tanda-tanda kemarahan rakyat sudah dapat dilihat.
Penduduk mengetuk objek termasuk periuk dan kuali dan membunyikan hon kenderaan di seluruh daerah komersial di Yangon pada malam Rabu.
Di sesetengah kejiranan, penduduknya menyanyikan lagu demokrasi sebagai membantah rampasan kuasa itu.
Malah, mereka juga membuat bising dengan mengetuk objek dari dalam rumah mereka.
Bagaimanapun, tiada rusuhan berlaku susulan rampasan kuasa itu memandangkan askar dan kenderaan tentera mengawal jalan di bandar utama.
Semalam, media melaporkan bahawa pemimpin Myanmar Aung San Suu Kyi didakwa di mahkamah negara itu, dua hari selepas tentera melakukan rampasan kuasa.
Pada Rabu, Suu Kyi, 75, didakwa atas kesalahan mengikut undang-undang import dan eksport.
Mahkamah turut membenarkan tahan reman selama dua minggu kepada pemimpin berkenaan.
Berdasarkan dokumen pertuduhan polis yang dibocorkan kepada pemberita, pertuduhan luar biasa itu selepas polis menyerbu rumah Suu Kyi dan menemui beberapa walkie-talkie.
Selain itu, Presiden negara itu, Win Myint yang sebelum ini turut ditahan turut didakwa atas pertuduhan luar biasa mengikut undang-undang pengurusan bencana berhubung menyalahi peraturan mengenai Covid-19 kerana didakwa bertemu pengundi ketika berkempen pada pilihan raya.
Sebelum ini, tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa selepas menahan Suu Kyi dan Win Myint, pada awal pagi Isnin.
Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu, yang menyaksikan parti pemerintah (NLD) pimpinan Suu Kyi menang besar.
Susulan itu, tentera mengumumkan perintah darurat selama setahun di negara itu dan merombak Kabinet dengan memecat 24 menteri dan timbalan menteri.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//chooxaur.com/4/2458908