Polis periksa individu jalani kuarantin di rumah

February 5, 2021 | News | No Comments

Polis memeriksa antara 200 hingga 300 individu yang menjalani kuarantin di rumah setiap hari menerusi Ops Kuarantin di Selangor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, pemeriksaan itu dijalankan oleh pasukan JSJ Selangor menerusi 16 daerah di seluruh Selangor.

“Polis ada menerima senarai individu yang diarahkan untuk menjalankan kuarantin di rumah dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana pengawasan ini tertakluk mengikut Seksyen 15 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“JSJ Selangor melawat individu ini di rumah masing-masing, setiap ibu pejabat daerah polis di Selangor ada pasukan khas yang menerima senarai dan melawat dari rumah ke rumah dengan lengkap memakai pakaian perlindungan diri (PPE).

“Setiap hari, kita akan melawat tidak kurang 200 hingga 300 rumah individu, polis akan minta mereka tunjukkan pengenalan diri.

“Sekiranya mereka tiada di rumah, ia menjadi kesalahan maka satu laporan polis akan dibuat dan siasatan akan dijalankan,” katanya dalam sidang media menerusi Google Meet di sini, semalam.

Fadzil berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac tahun lalu sehingga semalam, pihaknya membuka 36 kertas siasatan kerana melanggar arahan kuarantin.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Jadi, saya menasihatkan mana-mana individu yang diberikan arahan kuarantin di Selangor agar mematuhi arahan dan berada di alamat kuarantin masing-masing, jangan keluar ke sana sini,” katanya.

HM

, , ,

About Author

Leave a Reply

//dopansearor.com/4/2458908