789 individu ditahan ingkar PKP

February 8, 2021 | News | No Comments

Seramai 789 individu ditahan selepas didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, 764 individu dikenakan kompaun manakala 21 daripadanya direman dan empat lagi diberi jamin.

Katanya, antara kesalahan ingkar PKP adalah tidak memakai pelitup muka (191), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (160), tiada penjarakan fizikal (110), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (128), premis beroperasi lebih masa dan tanpa kebenaran (41), keluar rumah tanpa alasan munasabah (23) serta lain-lain kesalahan (136).

“Semalam, Operasi Benteng turut berjaya menahan 20 pendatang asing tanpa izin (Pati) serta merampas empat kenderaan darat.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 79 bot dan kapal di perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan.

“Op Benteng membabitkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia serta agensi keselamatan lain turut menjalankan 540 Sekatan Jalan Raya semalam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mengenai kuarantin wajib, Ismail Sabri berkata, seramai 1,013 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa dan dikuarantin di stesen kuarantin seluruh negara.

Beliau berkata, sejak 24 Julai lalu, seramai 117,892 individu pulang ke tanah air dan kesemua ditempatkan di 74 hotel serta 14 Institut Latihan Awam termasuk institut pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, 7,255 individu dikuarantin manakala 110,148 orang dibenarkan pulang dan 489 lagi dibawa ke hospital,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 7,003 pekerja warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 28 orang disahkan positif Covid-19.

Menurutnya, secara kumulatifnya, sejak 1 Disember lalu, seramai 312,623 pekerja warga asing menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 13,533 majikan dan hasil saringan itu, seramai 6,093 orang disahkan positif manakala 306,530 negatif.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//ashoupsu.com/4/2458908