Sesi persekolahan secara bersemuka bagi semua calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Vokasional Malaysia (SVM) 2020 di seluruh negara ditamatkan bermula Selasa ini.

Menerusi satu pekeliling bertarikh 4 Februari, Khamis lalu, lalu yang tular di media sosial, surat daripada Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Habibah Abdul Rahim memaklumkan sesi persekolahan ditamatkan lebih awal bagi memberi ruang kepada calon membuat persediaan kendiri sebelum peperiksaan bermula 22 Februari ini.

Surat edaran dalaman yang turut disertakan salinan kepada Menteri Kanan Kesihatan itu turut memaklumkan pelajar yang tinggal di asrama dikehendaki untuk terus kekal di asrama.

Manakala, pelajar asrama yang ingin menyambut perayaan Tahun Baharu Cina bersama keluarga dibenarkan pulang selepas sesi persekolahan pada Selasa ini.

“Sekiranya pelajar ingin kekal berada di rumah, mereka dibenarkan menduduki peperiksaan sebagai calon menumpang di pusat peperiksaan berhampiran dan ibu bapa atau penjaga perlu memaklumkan perkara ini kepada sekolah selewat-lewatnya 9 Februari (Selasa) ini.

“Kebenaran itu tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa,” menurut kenyataan dalam surat itu.

Pekeliling itu turut menjelaskan, sekolah dikehendaki memaklumkan perkara itu kepada Sektor Pentaksiran dan Peperiksaan, Jabatan Pendidikan Negeri untuk tindakan lanjut, ini bagi membolehkan urusan peperiksaan pelajar dapat dilaksanakan dengan lancar.

Selain itu, sekiranya mendapat persetujuan ibu bapa atau penjaga dan guru, sekolah dibenarkan mengadakan kelas tambahan sebagai persediaan pelajar sehingga tamat peperiksaan.

“Sekolah hendaklah sentiasa mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan warga sekolah.

“Kerjasama semua pihak adalah dimohon untuk memaklumkan isi kandungan surat ini kepada pegawai bertanggungjawab di bahagian, jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah dan pengetua sekolah,” jelas kenyataan dalam surat itu lagi.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, pihaknya menyokong penuh langkah yang diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menamatkan sesi bersemuka calon SPM dan peperiksaan awam lain yang bermula 22 Februari ini.

“Selain memberikan ruang kepada pelajar membuat persediaan di rumah, apa yang paling penting ia sebagai langkah proaktif KPM mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan calon SPM 2020 ini.

“Berdasarkan SOP KPM yang dimaklumkan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sebelum ini, pelajar yang disahkan positif Covid-19 atau diarahkan menjalani kuarantin tidak dibenarkan menduduki SPM pada 22 Februari ini,” katanya.

Menurutnya, mereka hanya dibenarkan mengambil peperiksaan selepas sembuh daripada jangkitan itu atau selepas menjalani kuarantin.

, , ,

About Author

Leave a Reply

//benoopto.com/4/2458908