Maaf jejaskan barang pelanggan Pekerja J&T

February 8, 2021 | News | No Comments

Tujuh pekerja Syarikat kurier J&T Express (J&T) Perak, tampil memohon maaf berhubung insiden membaling barang pelanggan yang tular di media sosial.

Menerusi video berdurasi 57 saat dimuat naik menerusi J&T Express Malaysia – Perak, seorang pekerja itu menegaskan tiada isu dalaman atau potongan gaji membabitkan pekerja dan syarikat itu.

“Kami ingin jelaskan bahawa tiada tindakan mogok. Sekali lagi kami memohon maaf kerana menjejaskan nama syarikat dan barang pelanggan rakyat Malaysia.

“Kami sedaya upaya akan proses dan hantar barang pelanggan secepat mungkin,” katanya dalam rakaman video itu.

Terdahulu, J&T dalam satu kenyataan menjelaskan, insiden itu berlaku disebabkan sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan kakitangan jabatan sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

Sebelum ini, tular di media sosial video pekerja syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi netizen dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.

HM

About Author

Leave a Reply

//dacmaiss.com/4/2458908