Kuala Lumpur: Polis melakukan siasatan berhubung dakwaan seorang lelaki yang mendakwa dipukul serta diacu pistol oleh anggota polis di Jalan Muadzam Shah, Pahang, pada 24 Januari lalu.


Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan terhadap laporan dibuat lelaki berusia 29 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Katanya, berdasarkan laporan lelaki yang juga jurujual itu, dia diarahkan majikan untuk pergi ke Johor Bahru untuk membuat pemantauan bagi meluaskan pasaran makanan laut syarikat terbabit pada 23 Januari lalu.

“Pengadu bergerak ke Johor Bahru menaiki kereta miliknya melalui Jalan Kuantan-Segamat untuk pergi ke Johor Bahru.

“Ketika memandu di kawasan Muadzam Shah, pengadu ditahan tiga hingga empat anggota polis pada 2 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abd Jalil berkata, lelaki itu mendakwa dia dipukul dengan tangan serta kaki di tepi jalan oleh semua anggota polis berkenaan dan seterusnya ditahan reman selama empat hari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Rompin.

“Hasil siasatan mendapati pengadu ditahan pada 24 Januari lalu oleh sepasukan anggota polis dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman.

“Lelaki itu dipercayai menjadi ‘tonto’ dengan cuba menghalang kenderaan CPSK (Cawangan perisikan dan siasatan khas) yang mengejar lori disyaki membawa muatan barangan seludup di kawasan Jalan Muadzam Shah,” katanya.

Beliau berkata, lelaki itu kemudian dituduh pada 27 Januari lalu di Mahkamah Majistret Rompin bagi dua pertuduhan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Bagaimanapun, katanya, lelaki itu tidak mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan dan dibenarkan dibebaskan sementara dengan jamin mahkamah.

“Pengadu kemudian datang ke Balai Polis Nenasi membuat laporan polis pada 27 Januari sebaik sahaja selepas dia dituduh di mahkamah.

“Tindakan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan bagi menyiasat dakwaan pengadu,” katanya.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//ashoupsu.com/4/2458908