Kerajaan bersetuju untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di taman perumahan dalam Bandar Muadzam Shah, Rompin bermula hari ini sehingga 22 Februari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia membabitkan Taman Desa Bidara, Taman Desa Keranji, Taman Redan Perdana, Taman Desa Teratai, Taman Desa Melor, Taman Desa Mawar 1, Taman Desa Mawar 2, Taman Desa Jati 1, Taman Desa Jati 2, Taman Desa Anggerik, Taman Desa Kenanga, Taman Desa Tanjung, Taman Desa Dahlia 1, Taman Desa Dahlia 2, Taman Desa Cempaka, Taman Desa Alamanda, Taman Pinggir Pelangi dan Taman Desa Semarak.

Katanya, PKPD ini bagaimanapun tidak membabitkan Bandar Satelit.

“PKPD ini akan melibatkan seramai 9,805 penduduk dan 2,178 rumah di taman-taman ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat pengesanan awal melalui saringan secara bersasar ke atas penduduk di lokaliti-lokaliti ini dan untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam komuniti di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Ismail Sabri berkata, sehingga kini KKM melaporkan sebanyak 13 kes positif direkodkan dalam Kluster Hikmah membabitkan jemaah Masjid Al-Muadzam Shah serta ahli keluarga yang tinggal di taman terbabit.

Katanya, KKM turut mengesahkan terdapat peningkatan secara mendadak yang melibatkan komuniti di mana 13 kes tersebut direkodkan dalam masa 10 hari.

Dalam pada itu, beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia memaklumkan seramai 7,139 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, 66 orang disahkan positif Covid-19, semalam.

“Secara kumulatifnya sejak 1 Disember 2020, seramai 319,762 pekerja warga asing sudah menjalani ujian saringan Covid-19 yang membabitkan 13,897 majikan,” katanya.

Selain itu, katanya, seramai 950 individu ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard dan daripada jumlah itu, 838 orang dikompaun, 93 individu direman manakala 19 lagi dijamin.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//dacmaiss.com/4/2458908