PKP 2.0: Gantung stereng buat sementara

February 10, 2021 | News | No Comments

Pemandu teksi dan e-hailing adalah antara pekerjaan teruk terjejas akibat penularan Covid-19 di negara ini.

Paling terkesan apabila kerajaan mengambil langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan PKP 2.0 tahun ini sehingga ada yang mengambil keputusan ‘gantung stereng’ dan terpaksa melakukan kerja lain.

Pemandu teksi, Zainol Don@Ahmad, 37, yang sudah lapan tahun berpengalaman melakukan pekerjaan itu menjelaskan buat masa ini dia terpaksa memulangkan semula teksi kepada syarikat.

“Ini kerana jika bergerak mencari pelanggan, lebih banyak hari tiada hasil berbanding yang berhasil. Biasa juga dapat RM10 sahaja dibayar pelanggan selepas meronda sekitar ibu negara.

“Cuba juga untuk bertahan dengan menunggu di stesen tren atau kawasan tumpuan ibu negara seperti Chow Kit namun hasilnya tidak berbaloi.

“Sebab itu saya terpaksa bertukar kerjaya dengan membuat penghantaran makanan. Boleh juga RM200 jika kerja selama 10 hingga 12 jam,” katanya kepada Harian Metro.

Zainol berkata, sebelum Covid-19 menular ke negara ini kebiasaannya pendapatan kasar dia perolehi adalah sekitar RM5,000 sebulan.

Namun katanya, pendapatan menjunam teruk sehingga lebih 90 peratus selepas Covid-19 melanda.

“Namun jika keadaan kembali normal, saya mahu kembali memandu teksi. Pendapatan agak lumayan khususnya jika mendapat tempahan pelancong asing.

“Sebagai contoh, pelancong dari negara-negara Arab memang kuat berbelanja dan tidak lokek membayar komisen yang banyak.

“Pernah dapat komisen dari pelancong berkenaan hingga ribuan ringgit untuk tempoh sekitar seminggu mereka melancong di sini,” katanya.

Sementara itu pemandu e-hailing, Hadi Hamzah, 37, berkata keadaan ekonomi keluarganya agak sukar jika bergantung sepenuhnya kepada kerja hakiki.

“Saya mempunyai empat anak yang masih bersekolah. Walaupun isteri bekerja namun saya adalah pencari rezeki utama untuk keluarga.

“Justeru saya terpaksa memandu pada waktu puncak sahaja iaitu 6 pagi hingga 9 pagi dan 6 petang hingga 9 malam.

“Waktu lain saya menjual barangan basah dengan menjadikan rumah sebagai stor bekalan. Jika tidak memang sukar menampung perbelanjaan sekeluarga,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap kerajaan dapat memberikan bantuan kepada golongan pemandu kenderaan awam sepertinya dengan terus masuk ke akaun sendiri bukannya melalui syarikat sebab ada bantuan tahun lalu tidak sampai kepada pemandu.

Untuk rekod, berdasarkan laman sesawang Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) terdapat 64,547 bilangan lesen perkhidmatan teksi manakala kira-kira 120,000 pemandu e-hailing yang memiliki lesen kenderaan awam (EVP) di seluruh negara.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//oackoubs.com/4/2458908