SKMM beri amaran keras kepada syarikat kurier

February 10, 2021 | News | No Comments

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi amaran keras kepada kepada pengurusan syarikat kurier terbabit dalam satu insiden yang tular baru-baru ini supaya mengambil langkah perlu bagi memperbaiki tatacara pengendalian bungkusan pelanggan.

Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan pihaknya sudah mengarahkan syarikat kurier berkenaan untuk memberi penjelasan.

Dalam kenyataan sama, SKMM turut mengingatkan semua syarikat kurier yang berlesen di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 supaya sentiasa mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan terutama dalam melindungi hak pengguna bagi memastikan tindakan penguatkuasaan tidak diambil ke atas syarikat mereka.

Sekiranya ingkar, pemegang syarikat terbabit boleh dikenakan hukuman tidak melebihi RM300,000 atau tempoh penjara tidak melebihi tigatahun atau kedua-duanya sekali.

“SKMM memandang serius insiden sekumpulan pekerja sebuah syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan yang tular di media sosial baru-baru ini.

“SKMM menyeru pihak pengguna memahami dan mengetahui hak mereka sebelum memilih perkhidmatan yang ditawarkan oleh syarikat penghantaran.

“Pihak pengguna perlu menghubungi penyedia perkhidmatan untuk membuat sebarang aduan dan tuntutan sekiranya berlaku kerosakan atau kehilangan barangan semasa dalam tempoh penghantaran,” katanya.

SKMM memaklumkan, pengguna tidak berpuas hati dengan resolusi yang ditawarkan boleh mengemukakan rayuan kepada pihaknya.

“Rayuan boleh dikemukakan di laman web https://aduan.skmm.gov.my/ berserta maklumat lengkap supaya siasatan dan tindakan susulan boleh diambil,” katanya.

Sebelum ini, tular di media sosial video kakitangan syarikat kurier membaling bungkusan pelanggan selepas dipercayai mogok susulan majikan mengurangkan komisen kerja.

Rakaman video berdurasi 15 saat di salah sebuah hub kurier syarikat itu turut menunjukkan lambakan timbunan bungkusan yang difahamkan mengalami kelewatan penghantaran.

Video itu mendapat pelbagai reaksi warganet dan pelanggan yang kesal dengan tindakan pekerja terbabit kerana dikhuatiri akan merosakkan barangan dalam bungkusan.

Berikutan itu, tujuh kakitangan syarikat terbabit tampil memohon maaf berhubung insiden itu.

Syarikat itu menerusi satu kenyataan turut menjelaskan insiden itu berlaku disebabkan sistem pengagihan bonus yang kurang jelas dalam kalangan kakitangan jabatan sehingga menjadi punca kejadian mogok serta tindakan membaling barangan milik pelanggan oleh kakitangan syarikat itu.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//ashoupsu.com/4/2458908