DUNGUN – Seorang suri rumah cedera selepas nekad menghalang suaminya melarikan anak lelaki mereka dalam kejadian di Taman Sura Tengah di sini pada Ahad.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi berlaku ketika mangsa berusia 32 tahun berada di rumah bersama anak lelakinya berusia 14 bulan sebelum dikejutkan dengan kehadiran suaminya, 32, yang menaiki kereta jenis Exora.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, suaminya yang beralamat dari Negeri Sembilan tanpa bersoal jawab terus membawa anaknya itu masuk ke dalam keretanya sebelum memecut keluar dari kawasan rumah berkenaan.

“Bagaimanapun, mangsa cuba menghalang tindakan suaminya itu dengan mengetuk cermin pintu kereta tetapi tidak diendahkan.

“Akibat tindakan itu, mangsa terseret dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan. Kejadian itu berlaku di hadapan rumah mangsa dan turut disaksikan abangnya yang secara kebetulan berada di lokasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Baharudin berkata, pasangan itu dalam proses perceraian dan suami mangsa datang ke sini untuk menghadiri perbicaraan perceraian mereka di Mahkamah Syariah Dungun pada hari kejadian tetapi ditunda.

“Polis masih memburu suami mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 18 (A) Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya.

-sinarharian

, , ,

About Author

Leave a Reply

//oackoubs.com/4/2458908