Prihatin dengan nasib pelajar bagi memudahkan mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Muhammad Ismail, di sini, Mohd Noor Ismail turun padang menghulurkan bantuan.

Mohd Noor berkata, beliau terpanggil untuk menziarahi dua pelajar sekolahnya yang tidak mempunyai telefon pintar berikutan keluarga tidak mampu menyediakan peranti itu.

“Kami tidak mahu pelajar tercicir atau terus ketinggalan mengikuti pembelajaran dalam talian di rumah ketika negara masih lagi ‘berperang’ dengan wabak pandemik Covid-19.

“Jadi kami bersama guru mengadakan ziarah cakna akademik ke rumah dua pelajar golongan asnaf iaitu pelajar Tingkatan Lima, Muhammad Najmuddin Mohd Nawi yang tinggal di Kampung Kolam, Kuala Ibai dan Muhammad Fawwaz Haikal Mohammad dari Kampung Rhu Renggeh, Marang.

“Dalam lawatan itu, kami menghulurkan sebuah telefon pintar bagi setiap pelajar berkenaan kerana sebelum ini menggunakan telefon bapa masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua pelajar itu komited untuk belajar apabila sanggup ke rumah guru mereka untuk meneruskan pembelajaran secara dalam talian di rumah.

Menurutnya, barisan pentadbir dengan kerjasama kaunselor, guru dan badan kebajikan sekolah berasa lega dapat membantu mereka yang sebelum ini sering kali tertinggal dalam sesi pembelajaran.

Katanya, selain telefon pintar, pihak sekolah turut menghulurkan kad tambah nilai RM12 seminggu kepada 15 pelajar yang tidak berkemampuan bagi memastikan PdPR berjalan dengan lancar tanpa gangguan.

Sementara itu, Muhammad Najmuddin berkata, dia berterima kasih kepada pihak sekolah yang berusaha untuk memberi telefon pintar untuknya meneruskan PdPR.

“Sebenarnya saya tidak menduga dapat telefon pintar ini. Selepas ini, saya tidak perlu lagi pergi ke rumah guru untuk belajar selain mudah berkomunikasi dengan guru.

“Bapa saya bekerja sebagai buruh dengan pendapatan RM900 sebulan, jadi tidak mampu membelikan saya telefon pintar,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//dooloust.net/4/2458908