Sorok barang seludup RM600,000 di rumah sewa

February 11, 2021 | News | No Comments

Melaka: Seorang lelaki menjadikan rumah sewa di Taman Limbongan Permai, Klebang Kechil, di sini, sebagai stor simpanan barangan tidak bercukai.


Antara barangan berkenaan adalah rokok putih pelbagai jenama, beberapa jenis minuman keras serta mercun dianggarkan bernilai RM600,000 yang dipercayai untuk dijual sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kegiatan terbabit sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Cawangan Risik Batalion 6, Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Task Force Batalion 6 untuk menjalankan siasatan pada 2.05 petang Isnin lalu.

Beliau berkata, hasil risikan dan pemantauan, pihaknya menahan sebuah kereta Proton Wira dipandu suspek yang berusia 32 tahun itu di satu lorong kedai di Klebang Kechil, di sini sebelum melakukan pemeriksaan ke atas lelaki serta kenderaan terbabit.

“Hasil pemeriksaan menjumpai pelbagai jenis rokok seludup sebelum suspek membawa pihak berkuasa ke sebuah rumah di Taman Limbongan Permai.

“Di situ, kami menemui pelbagai lagi rokok putih, mercun dan minuman keras yang tidak bercukai. Polis merampas 221 karton rokok pelbagai jenama ditemui dalam kereta suspek, selain 2,690 karton rokok lagi di dalam rumah sewa berkenaan.

“Turut dirampas, sembilan botol serta 144 tin arak dan 21 kotak mercun pelbagai jenama serta sebuah kereta yang digunakan suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, suspek yang berasal dari Rompin, Pahang itu tidak mempunyai rekod lampau dan dipercayai baru berjinak-jinak dalam aktiviti penjualan barangan seludup itu.

Menurutnya, modus operandi penjualan barangan tidak bercukai itu adalah menerusi jualan terus kepada peruncit di sekitar negeri ini.

Katanya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung bekalan barangan berkenaan serta tidak menolak kemungkinan ada suspek lain turut terbabit dalam kegiatan itu.

“Suspek itu direman selama tiga hari sehingga esok mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam kerana memiliki barang larangan import (rokok dan arak) yang boleh dihukum mengikut seksyen 135 (1)(v)(aa) akta sama.

“Jika sabit kesalahan, suspek boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali ganda niai atau RM100,000 sehingga tidak lebih daripada 24 kali ganda nilai atau RM500,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan memiliki mercun pula, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya.

hmetro

, ,

About Author

Leave a Reply

//chooxaur.com/4/2458908