Main judi dalam kilang, 18 individu ditahan

February 15, 2021 | News | No Comments

Remaja lelaki warga Hong Kong yang mengikut ahli keluarganya berjudi di sebuah kilang barangan lusuh di Jalan Pengkalan Bukit Tengah di sini, menerima padah apabila ditahan bersama 17 individu dalam serbuan polis petang Sabtu.

Bertindak melalui hasil risikan yang dijalankan Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah sejak seminggu lalu, polis menyerbu kilang terbabit pada 4.45 petang sebelum menahan 18 individu berusia 17 hingga 82 tahun termasuk remaja lelaki itu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, polis memperoleh maklumat terdapat aktiviti perjudian membabitkan pertaruhan puluhan ribu ringgit dengan menjadikan ruang pejabat dalam sebuah kilang sebagai lokasi bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Ketika serbuan didapati terdapat 18 individu iaitu 16 lelaki dan dua wanita terdiri daripada warga tempatan, Taiwan, Hong Kong dan China berada dalam ruang pejabat kilang berkenaan.

“Terdapat juga seorang remaja lelaki yang mengikut ahli keluarganya berjudi dan kesemuanya ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, semalam.

Menurutnya, pemeriksaan yang dijalankan mendapati kilang itu dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan hanya membenarkan individu dikenali sahaja masuk ke dalam premis.

“Dalam serbuan ini, polis merampas peralatan bermain judi antaranya daun terup, buah dadu dan juga wang tunai hampir RM180,000 untuk siasatan selanjutnya,” katanya.

Shafee berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Seberang Perai Tengah untuk siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

“Pada masa sama, mereka juga akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//dooloust.net/4/2458908