20 individu dibenar sertai majlis akad nikah

February 16, 2021 | News | No Comments

Kerajaan negeri bersetuju membenarkan majlis akad nikah dihadiri seramai 20 individu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, perkara berkenaan dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) yang dipengerusikan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, semalam.

Katanya, sebelum ini, untuk majlis akad nikah hanya tujuh individu dibenarkan, namun kini ia dilonggarkan dengan membenarkan 20 membabitkan 10 orang keluarga pengantin perempuan dan selebihnya pihak pengantin lelaki.

“Bagaimanapun kenduri perkahwinan masih tidak dibenarkan lagi sebagaimana yang ditetapkan kerajaan sebelum ini.

“Kerajaan negeri akan maklumkan perkara ini kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam waktu terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas JKKN, di Kompleks Kota Darulnaim di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, bekalan vaksin akan diterima Malaysia pada hujung bulan ini dan suntikan berkenaan akan diberikan terlebih dahulu kepada barisan hadapan seperti petugas kesihatan, anggota penguatkuasa dan exco kerajaan negeri.

“Negara-negara lain sudahpun melaksanakan suntikan vaksin dan kita boleh lihat dari sudut keberkesanan vaksin berkenaan dan ia memberi kesan positif, jadi kita tidak perlu takut untuk menerima suntikan vaksin.

“Jika dulu kita melihat ada kesan sampingan terhadap suntikan vaksin seperti demam serta ruam dan selepas beberapa kajian dibuat, vaksin selamat dan berkesan digunakan bagi mengawal Covid-19,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//cdrvrs.com/4/2458908