Sekumpulan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh yang menyewa dan berniaga barangan runcit barangan basah di tingkat atas rumah kedai di Amanjaya, Sungai Petani ditahan dalam pemeriksaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabtu lalu.

Dalam pemeriksaan itu, enam lelaki Bangladesh berkenaan didapati menjadikan premis berkenaan sebagai tempat penyimpanan ayam hidup sebelum disembelih sekali gus menyebabkan keadaannya kotor dan menjijikan.

Selain itu, kedai runcit itu juga turut menjual sayur-sayuran, ikan dan barang basah selain barangan runcit dan pakaian juga dijual di premis yang sama.

Pengarah JIM Kedah Zuhair Jamaludin berkata, mereka itu ditahan dalam Op Sapu yang bermula pada 5 petang hingga 11 malam membabitkan 17 pegawai dan anggota dari Unit Aduan, Risikan dan Operasi JIM Kedah.

Menurutnya, operasi dijalankan di sembilan lokasi di daerah ini dan pemeriksaan dilakukan terhadap 49 warga asing dari pelbagai negara.

“Kesemua warga Bangladesh berusia 22 hingga 35 tahun itu didapati tidak memiliki sebarang dokumen sah untuk berada di negara ini dan tinggal lebih masa selepas tamat pas yang dikeluarkan.

“Siasatan mendapati premis itu disewakan oleh orang tempatan kepada warga asing untuk mengaut keuntungan mudah.

“JIM akan membuat siasatan terperinci terhadap pemilik premis dan pemilik lesen perniagaan yang membenarkan atau menyewakan kepada warga asing bagi tujuan perniagaan terbabit.

“Ketika pemeriksaan dilakukan, kesemua suspek sedang bekerja di dalam premis itu termasuk sedang menyembelih dan memotong ayam, menjadi juruwang, penjual barangan basah dan runcit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, Ahad lalu.

Zuhair berkata, kes disiasat mengikut Perkara 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang diberikan.

Menurutnya, kes turut disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 59/63 tiada sebarang pas yang sah untuk berada di negara ini dan Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa selepas tamat pas yang dikeluarkan.

“Kesemua yang ditahan itu dibawa ke Klinik Kesihatan Daerah Kota Setar untuk menjalani saringan Covid-19 dan ditahan di lokap imigresen di Pejabat JIM Alor Setar.

“Mereka kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Belantik untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//ugroocuw.net/4/2458908