‘Sedut’ gas LPG guna ketulan ais

February 18, 2021 | News | No Comments

Kaut untung besar mencecah RM100,000 sebulan hanya melalui kegiatan ‘sedut’ gas petroleum cecair (LPG) subsidi menggunakan ketulan ais sebelum dijual kepada pihak industri.

Kegiatan penyelewengan LPG subsidi itu yang dikesan dilakukan berhampiran sebuah kilang simen terbongkar hasil risikan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya sebelum premis terletak di Puchong, Selangor itu diserbu.

Difahamkan sindiket yang beroperasi sejak setahun lalu itu sudah memperolehi keuntungan bersih melebihi RM1 juta hasil kegiatan haram berkenaan.

Timbalan Pengarah Operasi Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil berkata, serbuan dilakukan jam 7 malam semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa Unit Serbuan dan Taktikal KPDNHEP serta Seksyen Perisikan dan Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) KPDNHEP Putrajaya.

Menurutnya, premis itu kilang di kawasan perindustrian yang dijadikan stor simpanan gas LPG subsidi secara salah.

“Siasatan awal mengesyaki lokasi itu digunakan sebagai tempat untuk memindahkan gas LPG bersubsidi dari silinder 14 kilogram (kg) ke dalam tong LPG industri seberat 50kg.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat beberapa peralatan ditemui antaranya hos paip dan air batu disyaki bagi tujuan memindahkan gas itu.

“Turut ditahan tiga lelaki warga Indonesia yang disyaki diupah untuk melakukan kerja berkenaan. Hasil pemeriksaan dilakukan, kami merampas 191 tong LPG 14kg serta 79 tong LPG 50kg yang mengandungi gas di dalamnya,” katanya.

Menurutnya, turut dirampas 34 tong LPG 50kg dan 15 tong LPG 14kg yang kosong selain hos paip, alat timbang digital dan dua lori milik sindiket.

“Difahamkan setong gas LPG industri seberat 50kg dijual sindiket pada harga antara RM120 hingga 160 setiap satu.

“Semua rampasan itu dianggarkan mencecah hampir RM150,000. Susulan itu tindakan dan siasatan diambil mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah,” katanya.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//zikroarg.com/4/2458908