Terima kasih letak susu, Milo depan rumah

February 22, 2021 | News | No Comments

 “Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih pada individu tidak dikenali yang bermurah hati memberi bantuan susu dan Milo untuk tiga anak saya,” kata Norazlinda Osman, 30.

Menurutnya, hanya Tuhan sahaja dapat membalas kebaikan individu terbabit yang tidak pasti waktu bila meletakkan barangan berkenaan di depan rumah tanpa pengetahuannya sekeluarga.

Katanya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan, dia dan suami, Mohd Khairul Hafiz Mohd Nasir, 29, tiada pendapatan apabila kedai makan tempat mereka bekerja ditutup.

“Selepas dua minggu tidak bekerja, wang simpanan yang ada habis digunakan hingga memaksa saya mengambil keputusan meminta bantuan daripada penduduk Muadzam Shah dengan cara memuat naik ke Facebook ‘Muadzam Prihatin’.

“Saya tiada pilihan lain kecuali meminta bantuan daripada mereka yang prihatin terutama selepas tiga anak saya tidak minum Milo susu, lebih tertekan apabila dua hari anak saya menangis.

“Sejak kecil, anak saya berusia dua, empat dan lima tahun minum Milo susu, setiap hari mereka minum dua hingga tiga kali.

“Walaupun malu apabila terpaksa meminta bantuan orang ramai namun demi anak-anak saya sanggup berbuat apa sahaja,” katanya menetap di Desa Dahlia di sini.

Dia berkata demikian selepas menerima bantuan keperluan asas termasuk Milo daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) Muip Dr Asmadi Abdul Rahman di sini, Sabtu lalu.

Sebelum ini, tular di media sosial apabila Norazlinda mohon bantuan daripada masyarakat Muadzam Shah untuk membantu dia mendapatkan Milo dan susu untuk tiga anaknya berikutan dia kehabisan wang simpanan.

Norazlinda berkata, dia sekeluarga kini menumpang rumah datuknya yang tinggal bersama ibu saudara, kami 10 orang tinggal dalam satu rumah.

“Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Muip yang dua kali memberi bantuan keperluan asas, mereka juga menghulurkan sumbangan wang tunai,” katanya yang tidak menyangka kesusahan dia sekeluarga mendapat perhatian agensi itu yang segera membantu.

Sementara itu, Asmadi berkata, pihaknya tampil memberi sumbangan keperluan asas dan bantuan wang tunai segera bagi meringankan beban keluarga terbabit terutama apabila tiga anaknya memerlukan Milo dan susu.

“Saya berharap selepas ini pasangan berkenaan dapat meneruskan pekerjaan bagi menyara keluarga, tiga anak mereka masih kecil dan memerlukan pembelaan.

“Kesempitan hidup mereka bukan disebabkan mereka malas bekerja tetapi kedai makan mereka bekerja ditutup sepanjang PKP,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//chooxaur.com/4/2458908