Anting-anting dipakai tersangkut jaring kipas angin

February 23, 2021 | News | No Comments

Malang tidak berbau. Itu gambaran tepat dapat menggambarkan nasib dialami bayi 10 bulan, Delisha Diana Mohd Shamsul Azman yang cedera di telinga kiri selepas anting-anting dipakainya tersangkut pada jaring kipas angin.

Ibunya, Dewi Diana Muhamad Samsudin, 31, berkata, kejadian berlaku jam 10.30 pagi 8 Februari lalu sewaktu dia berada di dapur manakala Delisha di bilik bersama suaminya, Mohd Shamsul Azman, 34, di rumah mereka di Kampung Petani, Batu Pahat, Johor.

Dewi Diana mengakui tidak sedar dengan apa yang berlaku sehingga mendengar tangisan anaknya itu daripada dalam bilik.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas malah saya dan suami tidak sedar sehingga mendengar tangisan Delisha. Anting-anting itu tersangkut ketika Delisha mahu mencapai barangan di belakang kipas angin berkenaan.

“Mungkin kerana panik, dia cuba rentap anting-anting itu dengan kuat dan akhirnya, telinganya luka akibat terkoyak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Dewi Diana berkata, dia dan suami pada awalnya menghantar Delisha ke sebuah klinik swasta berhampiran rumahnya.

Namun, doktor di klinik itu memaklumkan tidak dapat memberi rawatan dan meminta merujuk Delisha ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), Batu Pahat.

“Kami tiba di hospital jam 12 tengah hari dan perlu menunggu sebelum bertemu pakar telinga pada 2.30 petang.

“Selepas pemeriksaan pakar, Delisha dikehendaki berpuasa lebih daripada empat jam sebelum menjalani prosedur di bilik bedah. Saya bersyukur kerana semuanya berjalan lancar sebelum Delisha dibenarkan pulang jam 3 petang keesokan harinya,” katanya.

Katanya, keadaan Delisha juga bertambah baik dan sudah membuka semula jahitan pada 15 Februari lalu.

Tambahnya, niatnya berkongsi pengalaman dialaminya itu sebagai peringatan kepada ibu bapa lain supaya sentiasa berjaga-jaga.

“Ramai memberi kata positif dan ada juga kecaman diterima kerana kejadian berlaku ketika anak dalam jagaan saya.

“Apa yang penting, saya ambil iktibar daripada apa yang berlaku dengan lebih mengawasi Delisha. Cuma pengalaman itu sedikit sebanyak membuatkan saya takut untuk memakaikan Delisha anting-anting buat masa ini,” katanya.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//whugesto.net/afu.php?zoneid=2458908