KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menyediakan aplikasi khas atau saluran media sosial untuk memudahkan masyarakat melaporkan sebarang kegiatan rasuah di negara ini.

Setiausaha Agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan, Shahrin Darus berkata, kemudahan melalui aplikasi digital itu wajar disediakan kerana prosesnya menjadi cepat serta memudahkan orang ramai.

“Langkah yang perlu ialah kerjasama daripada semua pihak dan juga masyarakat memandangkan zaman sekarang kemudahan media sosial sangat membantu.

“Platform sosial dilihat berkesan kerana sebarang perbuatan rasuah boleh dilaporkan dan menjadi tular di media sosial,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Sementara itu, Shahrin berkata, dalam konteks peniaga itu sendiri, amalan rasuah bukan sahaja memberi impak kepada pelaku tetapi juga kepada persekitarannya.

“Jika ia berlaku di peringkat penjaja dan peniaga kecil, maka ia bertambah susah untuk menjalankan perniagaan dan harga barang akan meningkat serta imej PBT akan tercalar.

“Kesannya kepada masyarakat sekeliling, mereka tidak akan lagi mempercayai kewibawaan pengurusan pihak pentadbir termasuk pihak kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Integriti di setiap agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu menempatkan pegawai yang amanah dan berpendidikan agama.

Katanya, pihak berkuasa tidak boleh bersikap pilih bulu ketika menjalankan tugas dan wajib mendakwa pihak yang melakukan kesalahan.

-sinarharian

, ,

About Author

Leave a Reply

//dopansearor.com/4/2458908