Suami isteri ‘curi dan jual semula’ tumpas

February 24, 2021 | News | No Comments

Kegiatan suami isteri mencuri barangan di kedai serbaneka, kedai runcit, pasar raya dan farmasi di sekitar daerah ini terbongkar apabila mereka ditahan pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, mereka dipercayai menjadikan premis tanpa alat pengimbas harga sebagai sasaran untuk melakukan jenayah bagi mengelak dikesan.

Katanya, turut ditahan adalah dua lelaki iaitu pemilik dan pekerja kedai runcit yang dipercayai membeli barangan curi pasangan terbabit.

“Kegiatan jenayah itu terbongkar apabila seorang pekerja sebuah farmasi di daerah ini membuat laporan pada 7 Februari lalu bahawa terdapat dua individu mencuri barang dengan memasukkannya ke dalam beg sandang.

“Perkara itu hanya disedari pekerja selepas memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) farmasi. Nilai kerugian dialami kira-kira RM1,200,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, di sini, semalam.

Beliau berkata, susulan laporan itu pihaknya menahan suami isteri warga tempatan terbabit pada Jumaat lalu, manakala pemilik dan pekerja kedai runcit pula ditahan, Isnin lalu.

Katanya, pasangan berkenaan memilih barangan bernilai tinggi seperti susu tepung bayi serta produk kosmetik dan penjagaan diri sebelum menjual pada harga rendah kepada kedai runcit terbabit.

“Pembeli (kedai runcit) akan menukar tanda harga dan menjual semula barangan berkenaan di kedai miliknya serta menerusi platform jualan dalam talian.

“Pasangan itu dipercayai aktif melakukan jenayah berkenaan sejak setahun lalu dan kita percaya berjaya menyelesaikan 10 kes kecurian membabitkan kerugian kira-kira RM50,000 di sekitar daerah ini,” katanya.

Nurulhuda berkata, kesemua tangkapan berusia 20-an hingga 40-an dan pihaknya kini mengesan beberapa kumpulan lain yang dipercayai terbabit dalam kegiatan sama.

Katanya, kesemua suspek direman sehingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 380 dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//oackoubs.com/4/2458908