Jual semula selepas cuci untuk kaut untung

February 26, 2021 | News | No Comments

Mencuci semula sarung tangan getah terpakai dengan campuran pengilat tayar, cecair peluntur dan nila sebelum menjualnya kepada orang ramai secara dalam talian.

Bagaimanapun, tindakan keji pekerja pusat pemprosesan sarung tangan getah di Seksyen 13, Bandar Baru Bangi akhirnya terbongkar selepas premis terbabit diserbu, semalam.

Serbuan pada 10 pagi dilakukan sepasukan 25 anggota dan pegawai penguat kuasa Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) diketuai Pengarah Jabatan Penguatkuasaannya Shariman Mohd Nor.

Menurut Shariman, serbuan itu dijalankan hasil maklumat daripada orang awam dan siasatan dijalankan mendapati premis terbabit beroperasi sejak tiga bulan lalu.

Katanya, MPKj bertindak menyita premis itu, manakala Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut merampas 86,981 sarung tangan getah bernilai lebih RM24,000 terbabit untuk siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat sebuah mesin basuh, seunit alat pengering dan pembilas pakaian di dalam premis berkenaan.

“Premis ini menggunakan khidmat pekerja asing dipercayai warga Bangladesh dan Myanmar, namun mereka sempat melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

“Sebahagian sarung tangan ditemui mempunyai kesan kekotoran, tetapi dibersihkan semula sebelum dibungkus di dalam kotak dan dijual di platform dalam talian pada harga RM18.80 hingga RM22.90,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi berkenaan, di sini.

Turut serta dalam operasi itu ialah MDA KKM dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Shariman berkata, selain menjual secara dalam talian, pelanggan juga dibenarkan datang ke premis untuk membuat pembelian.

Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Unit Penguatkuasaan MDA, Dery Akmal Abdul Rahman berkata, sarung tangan getah yang diproses itu diperoleh daripada pembekal tempatan.

Katanya, ia dikategorikan sebagai gred kedua kerana tidak melepasi ujian kawalan kualiti, namun menggunakan jenama sarung tangan untuk perubatan pada bungkusan kotak.

“Kami ada menjalankan soal siasat dengan pemilik premis yang mengaku menjual sarung tangan itu secara dalam talian dan ‘walk in’ iaitu pelanggan boleh datang terus ke premis untuk membuat pembelian

“Terdapat kesan kekotoran dan kerosakan pada sarung tangan terpakai berkenaan. Kesemuanya dirampas untuk siasatan lanjut,” katanya.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//soaheeme.net/4/2458908