Month: March 2021

Bot karam, nelayan Vietnam ditemui terapung

March 29, 2021 | News | No Comments

Seorang nelayan Vietnam ditemui terapung pada jarak 107.2 batu nautika dari muara Tok Bali, di sini pada Sabtu selepas bot yang dinaikinya dipercayai karam.

Mangsa yang dikenali sebagai Le Hoang Em, 41, ditemui tanpa pakaian oleh sebuah kapal Express 93 dalam keadaan sedar dan berpaut pada pelampung.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob berkata, pihaknya memindahkan nelayan tersebut ke darat pada Ahad selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu dari sebuah kapal pada jam 2.30 petang.

“Bagaimanapun, kru kapal tersebut terlebih dahulu berjaya membawa naik mangsa pada jam 11.30 pagi,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurutnya, berpandukan kepada perbualan awal antara mangsa dengan wakil kapal, nelayan tersebut memberitahu bekerja di atas sebuah bot.

Beliau berkata, mangsa memberitahu bot yang dinaikinya itu karam lima hari lalu berhampiran Pulau Nam Du, Vietnam sebelum dihanyutkan sejauh 147 batu nautika.

Katanya, mangsa telah dibawa masuk ke Jeti Tok Bali Supply Base (TBSB) pada jam 9.30 pagi dan dihantar ke Klinik Kesihatan Cherang Ruku untuk menjalani ujian calitan Covid-19.

“Kita telah maklumkan penemuan nelayan itu kepada pihak kedutaan Vietnam di negara ini.

“Maritim Malaysia Kelantan akan menjalankan siasatan bagi meneliti kejadian sebenar kerana mangsa dijumpai di kawasan perairan negara dan mendakwa bot mereka bersama enam kru karam sejak lima hari lalu,” katanya.

Menurutnya, mangsa akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk proses selanjutnya.

-sinarharian

Seorang peniaga maut apabila kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebuah kedai selepas mengalami serangan jantung di Kilometer (KM) 93 Jalan Kuantan – Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Khairuman Ha’usin, 58, beralamat di Kampung Tanjung Kerayung, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Darwati Hassan, 48, terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman memberitahu, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari rumahnya untuk berniaga di Pekan Sehari Maran.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebuah kedai.

“Akibat dari kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

“Hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan dari Hospital Jengka mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung,” katanya pada Sinar Harian,Ahad.

Jelasnya, kes masih disiasat dan pihak polis sedang mengesan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan.

-sinarharian

Seorang lelaki dari Jepun yang dua bulan dirawat di hospital terkejut sebaik pulang ke rumahnya mendapati kediaman itu kosong.

Ryo Nagaoka yang tinggal di Pangsapuri East Village lebih 20 tahun bekerja di sebuah restoran mi dan tinggal bersendirian bersama kura-kura diberi nama Kame-san bermaksud Mr Tortoise.

The New York Post melaporkan pada Januari lalu, dia ditemukan tidak sedarkan diri di pangsapurinya oleh pemilik kediaman itu yang berkunjung untuk memberitahunya mengenai kebocoran air.

Dia kemudian dibawa ke hospital dengan ambulans dan dirawat di Hospital Bellevue dan kemudahan pesakit luar di Brooklyn selama dua bulan.

Sekembalinya ke rumah pada 24 Mac lalu, dia terkejut sebaik melihat pangsapurinya sudah dikosongkan dan tinggal hanya piano serta Kame-san.

Pemilik bangunan memindahkan semua barangannya termasuk peti sejuk.

Dia tidak memiliki telefon bimbit, dompet malah kad pengenalan.

Bangunan itu dimiliki oleh Barbara Corcoran dan A-Rod dari Shark Tank yang bertanggungjawab membersihkan semua barangannya.

Syarikat itu mengupah sekumpulan pekerja untuk mengosongkan dan membersihkan rumahnya pada 17 Februari lalu.

Menyedari hal itu, jiran dan rakan Ryo mengumpulkan wang di GoFundMe dan berjaya mendapat AS$57,000 (RM236,350) melebihi sasaran mereka AS$50,000 (RM207,325).

Barbara Corcoran turut menyumbangkan AS$12,000 (RM50,000) untuk membantu lelaki itu.

Ryo menceritakan selepas dua bulan dirawat di hospital dan boleh pulang ke pangsapurinya, kunci rumahnya turut ditukar.

“Saya meminta pertolongan jiran untuk menghubungi pemilik rumah sebelum wakil mereka datang dan membuka pintu.

“Ketika saya membuka pintu, kejutan lain yang datang. Itu (pangsapuri) kosong.

“Mereka buang semuanya. Saya tidak tahu siapa, tapi seseorang menyelamatkan kura-kura ini,” katanya.

Rakan dan jiran tercengang ketika dia muncul kembali malah pernah menampal poster orang hilang di lorong untuk mencari Ryo.

Jurucakap Corcoran mendakwa mereka sudah melakukan pelbagai usaha untuk mengesan penghuni rumah itu termasuk menghubungi hospital setempat dan Khidmat Perlindungan Orang Dewasa. Khidmat Perlindungan Orang Dewasa.

HM

Rumah terbakar sebelum majlis pertunangan

March 29, 2021 | News | No Comments

Sebuah rumah musnah terbakar kira-kira sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong di sini pada Ahad.

Saksi kejadian yang juga jurugambar majlis berkenaan, Izzat Syafaat Ismail, 29, berkata, kebakaran berlaku kira-kira 1.20 petang manakala majlis pertunangan berkenaan sepatutnya berlangsung pada 2.30 petang.

Katanya, ketika itu, dia sedang bersiap untuk melakukan tugasan mengambil gambar tetapi dikejutkan dengan api marak yang membakar rumah tersebut.

“Keadaan menjadi kelam-kabut sehinggakan ahli keluarga pasangan itu tidak sempat menyelamatkan barang-barang hantaran pertunangan termasuk pakaian, peralatan elektrik serta dokumen-dokumen penting di dalam rumah.

“Ada antara ahli keluarga yang pengsan dan cedera melecur kerana nekad mahu menyelamatkan kenderaan yang berhampiran selain cedera kerana terpijak kaca,” katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.

Menurut Izzat, kebakaran dipercayai akibat litar pintas di bahagian dalam rumah tersebut, menyebabkan api merebak pantas berikutan struktur rumah diperbuat daripada separa batu dan kayu.

Katanya, ketika kejadian, dianggarkan 100 tetamu berada di rumah berkenaan namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua mangsa sempat menyelamatkan diri.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Pahat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, kebakaran memusnahkan hampir 80 peratus rumah tersebut serta sebuah motosikal.

“Sebanyak 22 anggota bomba berserta tiga jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada 1.18 petang.

“Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan dan operasi ditamatkan pada 3.34 petang,” katanya.

-sinarharian

Tak pernah nak serik…

March 29, 2021 | News | No Comments

Mula mengambil dadah sejak berusia 11 tahun dan pernah ditangkap sebanyak 36 kali.

Itu dilalui seorang penagih tegar berusia 50-an yang dianggap ‘otai’ dalam kalangan penagih di Jalan Raja Bot, di sini.

Dia antara 50 individu yang ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dalam Op Sarang yang dijalankan awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula pada 3.30 pagi itu, tiga lokasi iaitu di Jalan Raja Bot, Jalan Chow Kit dan Jalan San Peng yang menjadi lokasi tumpuan penagih digempur polis.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, seramai 50 individu berusia 20 hingga 50 tahun berjaya ditahan dalam operasi terbabit.

“Operasi dijalankan di sekitar penempatan, pasar dan hotel bajet yang menjadi tumpuan penagih dadah.

“Kebanyakan individu yang ditahan adalah pekerja di kawasan sekitar terutama di Pasar Chow Kit,” katanya selepas tamat operasi terbabit di sini, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, menerusi operasi yang dijalankan, pihaknya juga mengenal pasti pembekal dadah di kawasan ini.

“Ada antara mereka sudah ditahan dan ada yang masih ‘beroperasi’. Mereka masih dalam radar polis dan akan diambil tindakan.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Chow Kit untuk ujian saringan Covid-19 sebelum dihantar ke IPD Dang Wangi bagi proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” katanya.

HM

Polis siasat majlis nikah Neelofa

March 29, 2021 | News | No Comments

Polis sudah membuka kertas siasatan dan akan memanggil penganjur majlis pernikahan selebriti popular, Neelofa, 32,dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Menurutnya, siasatan mendapati majlis yang berlangsung itu gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.

“Susulan itu kita akan memanggil penganjur bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan selebriti popular, Neelofa, 32, selamat diijabkabulkan dengan pelakon dan pendakwah bebas, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz, 26, di hotel di sini.

Pasangan itu dinikahkan adik Neelofa iaitu Mohd Aqief Mohd Noor.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd Noor menerima mas kahwin berupa sebentuk cincin.

HM

Koperasi lonjak pendapatan pekebun kecil

March 29, 2021 | News | No Comments

Semua pekebun kecil getah di negara ini digalakkan untuk bergerak di bawah koperasi di kawasan masing-masing dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka melalui penghasilan getah krip.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, setiap koperasi akan dibantu oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan pemberian sebuah mesin getah krip bernilai RM300,000 dan juga modal pusingan sebanyak RM140,000.

Menurutnya, buat permulaan pihaknya mensasarkan sebanyak 20 koperasi akan menyahut seruan ini yang berada di bawah Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target).

“Dana awalan sebanyak RM6 juta di bawah LGM disediakan untuk 20 koperasi pertama ini dan bagi koperasi-koperasi lain akan disediakan dana-dana lain pula.

‘Minimum penyertaan setiap koperasi sekurang-kurangnya adalah 40 peserta dan lebih ramai yang menyertai lebih baik kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya lima tan getah sekerap sebulan untuk dijadikan getah krip yang harganya lebih tinggi,” katanya pada sidang akhbar di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek ini secara keseluruhannya dirancang bagi menjayakan transformasi pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan secara bersama di peringkat pekebun kecil, koperasi dan usahawan.

“Setakat ini sudah ada koperasi yang aktif namun ada juga koperasi yang tidak aktif. Kita mahu menggerakkan koperasi-koperasi ini kerana jika tidak aktif ia akan merugikan negara,” katanya.

Mohd Khairuddin berkata, LGM akan turun padang membantu dengan mengadakan kursus bagi pengurusan koperasi dan sebagainya.

“Kita mahu setiap koperasi disertai oleh ramai pekebun kecil getah kerana koperasi memerlukan hasil getah yang banyak dan pulangan hasilnya juga akan banyak dan kita harap-harap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membantu menghebahkan tentang perkara ini,” katanya.

Jelasnya, kementerian dan LGM amat prihatin serta komited untuk meningkatkan mutu serta daya saing industri getah negara melalui pengenalan teknologi-teknologi yang bernilai tambah dan boleh dimanfaatkan oleh pihak industri dan pekebun kecil.

-sinarharian

Gara-gara lambat memasak rendang ayam, seorang wanita ditampar di pipi oleh suaminya dalam kejadian di sebuah rumah di Jalan Pinang, Kampung Melayu di sini pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 10.30 pagi di rumah pasangan suami isteri tersebut melibatkan mangsa yang juga suri rumah berumur 66 tahun manakala suspek merupakan suami mangsa berumur 67 tahun yang juga seorang pesara.

“Siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran di antara mangsa dan suspek berpunca daripada mangsa yang lambat memasak rendang ayam.

“Semasa pertengkaran, mangsa telah ditampar di pipi dan pertengkaran berlaku hingga ke dalam bilik tidur,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, suspek kemudiannya bertindak duduk di atas badan mangsa sebelum meludah muka mangsa

“Suspek kemudiannya mahu mencekik mangsa tetapi mangsa telah melawan dan berlaku pergelutan sehingga menyebabkan kedua-dua jatuh daripada katil.

“Akibat dari kejadian tersebut mangsa sakit pada badan dan terdapat lebam pada dagu sebelah kanan tetapi mangsa tidak pasti punca lebam tersebut,” katanya.

Menurutnya, suspek menghidap penyakit jantung, darah tinggi dan kencing manis yang memerlukan suntikan insulin empat kali sehari.

“Mangsa tinggal bersama suspek dan juga ibu suspek yang lumpuh berusia 86 tahun di rumah yang sama.

“Pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.

-sinarharian

Melancong bukan melencong!

March 29, 2021 | News | No Comments

KONONNYA datang melancong ke negara ini tetapi 24 wanita warga asing didapati melencong dengan bekerja sebagai wanita pelayan pelanggan (GRO) di pusat hiburan di negara ini.

Bagaimanapun, tindakan wanita Vietnam, Laos dan Thailand itu berjaya dikesan dalam Op Noda yang dijalankan Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di pusat hiburan di Taman Usahawan Kepong, Kuala Lumpur malam tadi.

Ketua Penolong Pengarah D7 JSJ Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata, operasi itu diketuai Ketua Unit Pencegahan Maksiat D7 Bukit Aman Deputi Superintendan Redzaimi Abd Hamid.

Menurutnya, operasi bermula 11.30 malam itu turut menahan tiga lelaki tempatan yang bekerja sebagai pengurus pusat hiburan, penjaga kaunter, bouncer (penjaga) serta masing-masing seorang lelaki Myanmar dan Thailand dipercayai pekerja di premis itu.

Katanya, polis turut menahan seorang wanita tempatan berusia 27 tahun bergelar ‘mummy’ yang dipercayai menguruskan persembahan dan penjualan ‘kalungan bunga’ serta tiara antara pelanggan dengan GRO warga asing terbabit.

“Kesemua individu yang ditahan itu berusia antara 22 hingga 51 tahun manakala GRO warga asing berkenaan terdiri daripada 21 wanita Thailand, dua (Laos) dan seorang dari Vietnam.

“Wanita terbabit didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dengan masuk ke negara ini sebagai pelancong tetapi bekerja sebagai GRO,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Rohaimi, pusat hiburan itu didapati sudah beroperasi sejak dua tahun lalu dan dijaga bouncer serta dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.

“Kesemua wanita warga asing berkenaan ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Lima lelaki membabitkan tiga lelaki tempatan dan dua warga asing serta ‘mummy’ itu pula ditahan mengikut Peraturan 55(b) Peraturan Imigresen 1963 kerana menggaji serta melindungi warga asing yang tidak memiliki dokumen sah,” katanya.

Menurut Rohaimi, semua yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul untuk siasatan serta tindakan lanjut.

-hmetro

Ajal hasil video

March 29, 2021 | News | No Comments

Tangerang Selatan: Demi menghasilkan kandungan video untuk tatapan pengikut di media sosial, seorang remaja maut selepas menahan lori secara tiba-tiba.

Ketua Polis Tangerang Selatan, Agus Sutisna berkata, kejadian itu berlaku ketika remaja berusia 14 tahun dan rakan-rakannya berjalan dari arah Benda, Pamulang menuju ke Universitas Pamulang.

“Ketika mereka tiba di hadapan Villa Dago, mereka memberhentikan lori dengan tujuan untuk menumpang kenderaan itu,” katanya seperi dilaporkan Kompas.

Menurutnya, disebabkan lori itu membawa muatan pasir, ia tidak boleh menekan brek serta-merta kerana keadaan menjadi lebih bahaya.

“Pemandu tidak boleh menghentikan lori serta-merta kerana membawa muatan berat lalu melanggar remaja berkenaan sehingga jatuh.

“Mangsa cedera di bahagian pinggang hingga paha,” katanya.

Katanya, pemandu lori ditahan untuk siasatan lanjut.

Seorang saksi dikenali sebagai Anjas berkata, kumpulan remaja itu sering berkumpul dan sengaja menahan lori yang lalu di laluan berkenaan pada setiap malam.

Katanya, aksi itu sengaja dilakukan sebagai bahan kandungan untuk video yang kemudiannya dimuat naik di media sosial.

“Mereka sengaja buat begitu. Ada rakan mereka yang merakam untuk kandungan di media sosial,” katanya.

Menurutnya, penduduk setempat tidak senang dengan apa yang dilakukan kumpulan remaja itu kerana membahayakan nyawa.

“Mereka sering berkumpul di laluan ini dan kami akan mengusir mereka kerana tidak mahu mereka melakukan aktiviti berbahaya ini,” katanya.

Anjas berkata, ketika kejadian, kumpulan remaja itu lari meninggalkan rakan mereka yang dilanggar dan cedera parah.

hmetro

//shoubsee.net/4/2458908