Tujuh kawasan catat IPU tidak sihat

March 3, 2021 | News | No Comments

Tujuh kawasan mencatatkan bacaan status kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat 4 petang, semalam.

Ia meliputi lima stesen di Selangor iaitu di Johan Setia, Klang mencatatkan Indes Pencemaran Udara (IPU) sebanyak 188, Banting (167), Petaling Jaya (133), Klang (107), Shah Alam (104), satu stesen di Kuala Lumpur iaitu Cheras (111) dan satu stesen di Pahang iaitu di Rompin (133).

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, punca kualiti udara tidak sihat disebabkan peningkatan kes pembakaran terbuka di dalam negara susulan keadaan cuaca panas dan kering bermula sejak pertengahan Februari lalu sehingga kini.

Beliau berkata, keadaan sedikit berjerebu di Lembah Klang yang dialami pada hari ini berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan seluas 34 hektar sejak 24 Februari 2021.

Menurutnya, pembakaran terbuka daripada aktiviti pertanian tanah gambut di Johan Setia, Klang yang mula dikesan pada 5 Februari lalu dengan lima lokasi kebakaran membabitkan anggaran jumlah keluasan satu hektar menyebabkan kualiti udara tidak sihat di kawasan itu.

“Jabatan Alam Sekitar (Jas) turut mengesan kebakaran belukar di kawasan Rompin dengan anggaran keluasan empat hektar pada hari ini yang meningkatkan bacaan IPU di stesen kualiti udara Rompin, Pahang.

“Saya sudah mengarahkan Jas untuk menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap kes pembakaran terbuka dan mereka sudah menyediakan enam kertas siasatan, mengeluarkan satu kompaun dan empat notis arahan serta arahan di lapangan.

“Tindakan tegas diambil kepada pemilik tanah, operator tapak pelupusan sampah dan pelaku yang menyebabkan pembakaran terbuka yang menjejaskan kualiti udara,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Kawasan dikesan terbabit dengan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut iaitu Hutan Simpan Kuala Langat Selatan, Selangor, Johan Setia, Klang, Parit Kuno Johor,Sungai Miang, Pahang dan Batu 9, Sijangkang, Selangor.

Selain itu, kawasan belukar tanah gambut di Parit Lajis, Parit Zin, Muar, Johor, Kampung Lepau, Johor, Bandar Nusaputra, Presint 1 Putra Perdana, Sepang, Selangor, belukar tanah gambut berhampiran tapak lama Summerset Resort, Rompin, Pahang serta belukar tanah gambut bersebelahan dengan Malaysia-China Kuantan Industrial Park (MCKIP), Gebeng, Pahang.

Tujuh kawasan pelupusan sampah turut terbabit iaitu tapak pelupusan sampah Jerangau-Jabor, Pahang, tapak pelupusan sisa pepejal Pulau Burong, Pulau Pinang, tapak pelupusan sampah haram Astana Gemilang, Batu Caves, Selangor, tapak pelupusan sampah haram Jalan Industri Velox, Bandar Coutry Homes, Rawang, Selangor, tapak pelupusan sampah haram Sungai Purun, Hulu Langat, Selangor, tapak pelupusan sampah Tumpat, Kelantan; dan tapak pelupusan sampah Ampang Jajar, Pulau Pinang.

Semua pihak terus diingatkan agar tidak melakukan pembakaran terbuka terutama di kawasan tanah gambut, tapak pelupusan sampah atau membiarkan tanah atau premis kepunyaan mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja.

Menurut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, mereka yang disabitkan dengan kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali. Kompaun maksimum sebanyak RM2000 juga boleh dikenakan atas setiap kesalahan.

Orang ramai juga diminta bekerjasama untuk memadam kebakaran kecil dan juga melaporkan kes pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 dan JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau melalui eAduan di laman sesawang https://eaduan.doe.gov.my.

HM

,

About Author

Leave a Reply

//dacmaiss.com/4/2458908