Kementerian Wilayah Persekutuan akan melanjutkan pemberian lesen percuma serta diskaun kadar sewaan premis kepada penjaja dan peniaga dalam tempoh darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di ibu negara dan Putrajaya, sehingga 31 Julai ini.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya sebelum ini mengumumkan memberi lesen perniagaan percuma serta diskaun kadar sewaan premis di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) kementerian itu sehingga 31 Mac ini.

“Mengambil kira beberapa faktor seperti pertukaran status daripada PKP kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang membolehkan banyak aktiviti dibenarkan, kementerian bersetuju untuk melanjutkan tempoh pemberian lesen serta sewaan premis.

“Selain itu, kami mengambil kira bahawa Mac dan April adalah bulan bagi orang ramai terpaksa berbelanja untuk persiapan Ramadan serta Aidilfitri dan pembukaan sekolah baru-baru ini yang menyebabkan tanggungan kos kepada rakyat.

“Menerusi lanjutan pemberian lesen percuma serta diskaun kadar sewaan premis, ia boleh meringankan beban penjaja serta peniaga,” katanya pada sidang media di Program MyBeras@Wilayah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Annuar berkata, secara keseluruhannya, penjaja dan peniaga kecil masih bergelut daripada perniagaan sedikit malap berbanding keadaan biasa.

Beliau berkata, walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan PBT terpaksa menanggung kesusutan hasil, pihaknya merasakan langkah melanjutkan tempoh pembaharuan lesen percuma itu adalah perlu.

“Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih 40,000 penyewa premis termasuk hampir 10,000 peniaga dan penjaja selain 5,000 peniaga yang sedang mengambil bahagian dalam program Wilayah Bebas Berniaga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian berkenaan akan mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mempertimbangkan pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Setakat ini, kami menerima kira-kira 2,000 permohonan daripada penjaja bagi pembukaan bazar Ramadan dan Aidilfitri nanti.

“Jika ia dibuka nanti, ia akan membuka peluang kepada ramai penjaja baharu sepanjang tempoh itu (Ramadan dan Aidilfitri),” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, keputusan kebenaran itu bergantung kepada rekod displin kepatuhan prosedur operasi standard (SOP) penjaja ketika ini.

“Perlu diingatkan bahawa kita belum lagi keluar daripada zon selamat walaupun program vaksinasi sudah bermula.

“Kepatuhan pada SOP masih perlu dipertingkatkan dan komuniti memainkan peranan penting berhubung perkara itu,” katanya.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//benoopto.com/4/2458908