Seorang lelaki warga emas yang menyamar sebagai kerabat istana Kelantan dengan menawarkan gelaran Datuk serta meminta bantuan dengan syarikat, ditahan polis di Machang pada 27 Februari lalu.

Suspek berusia 69 tahun turut menggunakan gelaran Datuk palsu selain dipercayai aktif dalam kegiatan itu sejak awal tahun lalu.

Modus operandi suspek adalah dengan menawarkan gelaran Datuk kepada individu tertentu, selain menyasarkan syarikat untuk meminta sumbangan berbentuk barangan, dengan alasan untuk diagihkan kepada orang awam.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, kegiatan lelaki yang berasal dari Kota Bharu itu terbongkar susulan pihak polis mendapat maklumat daripada pihak istana Kelantan.

Beliau berkata, polis menerima laporan daripada pihak istana pada 25 Februari lalu mengatakan ada pihak yang memalsukan dokumen dan menyamar sebagai penerima anugerah Datuk daripada istana.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis menahan seorang lelaki berusia 48 tahun yang juga penjawat awam di Machang dan merampas satu kad mempunyai gambar serta penama bergelar Datuk.

“Hasil soal siasat, penjawat awam itu memaklumkan mendapat kad berkenaan daripada seorang lelaki yang mengaku sebagai kerabat istana Kelantan awal tahun lalu.

“Lelaki berkenaan juga tidak mengaku membuat sebarang bayaran untuk mendapatkan gelaran Datuk sebaliknya hanya menyerahkan salinan kad pengenalan serta sekeping gambar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, susulan maklumat berkenaan, pihaknya menahan lelaki yang mendakwa kerabat istana Kelantan yang berusia 69 tahun pada hari sama di Machang ketika berurusan dengan pihak tertentu untuk mendapatkan sumbangan.

Katanya, ketika tangkapan dibuat, polis merampas beberapa dokumen termasuk surat, kad yang tertera gambar, cop yang ditulis kerabat istana, carta Istana Balai Besar serta negeri.

“Siasatan mendapati, suspek tidak bekerja dan tiada kaitan langsung atau hubungan dengan istana Kelantan. Suspek menggunakan maklumat serta gelaran Datuk palsu.

“Justeru, polis memohon mana-mana pihak yang menjadi mangsa kepada suspek berkenaan supaya tampil membantu siasatan polis kerana setakat ini hanya seorang ditemukan mendapat gelaran ‘Datuk’ daripada suspek itu.

“Kes ini terbongkar apabila penjawat awam berkenaan mungkin menunjukkan kad gelaran Datuk yang diterimanya kepada individu lain sebelum perkara itu sampai kepada pengetahuan pihak istana,” katanya.

Katanya, suspek disiasat mengikut Seksyen 419, 468 dan 473 Kanun Keseksaan dan akan dituduh di Mahkamah Tumpat, hari ini.

HM

, ,

About Author

Leave a Reply

//cdrvrs.com/4/2458908